Thursday 28 April 2011

Cikgu denda ala along

JOHOR BAHRU: Seorang guru Matematik sebuah sekolah menengah di bandar raya ini, didakwa mengambil tindakan ala along terhadap pelajarnya yang gagal menyiapkan tugasan apabila bukan saja mengutip wang denda RM1, malah mengenakan kadar bunga harian dua kali ganda jika mereka lewat membuat bayaran.
Seorang ibu pelajar dikenali sebagai Sofiah, berusia 40-an berkata, dia dan suami terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab guru wanita terbabit selepas perbuatan itu didedahkan anak perempuan mereka yang belajar dalam tingkatan dua sekolah itu.

“Guru berusia lingkungan 30-an itu mengenakan denda berbentuk bayaran wang terhadap pelajar yang gagal memberikan jawapan betul bagi soalan dikemukakan mahupun tidak menyiapkan kerja sekolah.

“Tindakan itu menimbulkan masalah kepada pelajar yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah hingga ada yang terpaksa meminjam daripada rakan semata-mata untuk melunaskan denda itu,” katanya, semalam.

Menurutnya, rakan anaknya turut didenda RM1 baru-baru ini, dan guru terbabit turut mengenakan denda tambahan berjumlah RM2 jika pelajar gagal membuat bayaran pada hari sama.

Sofiah berkata, sebarang tindakan atau hukuman dilaksanakan guru selain pengurusan sekolah perlu mengikut kaedah dan garis panduan ditetapkan Kementerian Pelajaran.

“Jabatan Pelajaran Johor mahupun pengurusan sekolah perlu menyiasat perkara itu bagi mengelakkan ia berterusan.

“Niat saya bukan untuk menjatuhkan imej guru berkenaan, namun guru itu perlu lebih dedikasi memandangkan tindakannya itu tidak mungkin mampu mendisiplinkan pelajar atau mendidik mereka,” katanya. Pengetua sekolah berkenaan yang dihubungi enggan mengulas berkaitan isu itu, sebaliknya memaklumkan mahu menyiasatnya terlebih dulu.

sumber: maryvictoria@hmetro.com.my
p/s: Pelbagai cara dan inisiatif guru untuk melakukan yang terbaik dalam mencemerlangkan akademik pelajar. Guru yang baik adalah pengajaran yang berkesan.. Denda sebagai pengajaran berguna yang bukan menyakitkan boleh difikirkan yang penting tidak memudaratkan pelajar.. 

No comments:

Post a Comment