Monday 18 April 2011

Kementerian rangka peluang kerja 4,800 golongan kurang upaya

RAWANG: Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sedang merangka program khusus untuk mempersiapkan golongan yang diberi bantuan kebajikan termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) berdikari dan mempunyai pendapatan sendiri.
Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S Subramaniam (gambar) berkata, program itu sebagai usaha kerajaan memberi peluang kepada kira-kira 4,800 orang golongan terbabit mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kebolehan mereka.

“Mereka yang mendapat bantuan kebajikan akan diberi latihan dan ditempatkan di sektor pekerjaan yang sesuai. Kita tidak mahu rakyat (golongan ini) bergantung kepada bantuan kebajikan saja.

“Contohnya, warga emas yang mendapat bantuan kebajikan sebanyak RM100 sebulan dan golongan lain yang mendapat RM200...jadi kita lihat melalui program ini sekurang-kurangnya dapat membantu mereka berdikari dan mendapatkan pendapatan lebih,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Penempatan Pekerjaan di sini, semalam.

Turut hadir Anggota Parlimen Hulu Selangor P Kamalanathan dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia Mohd Jefrey Joakim.

Dr Subramaniam berkata, kementerian juga akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pertahanan dalam memberi latihan kemahiran kepada banduan kesalahan ringan sebagai persiapan berdikari selepas keluar dari penjara. - Bernama

sumber: My Metro

No comments:

Post a Comment