Saturday 16 April 2011

Kurang membaca penyumbang kepada keciciran pelajar

BATU PAHAT 15 April - Budaya membaca yang rendah di kalangan pelajar selain kegagalan menguasai kemahiran menulis, membaca dan mengira (3M) dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang kepada masalah keciciran pelajar yang agak membimbangkan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, analisis kementerian mendapati secara purata keciciran murid di peringkat sekolah rendah iaitu mereka yang keluar dari sistem persekolahan di bawah kementerian dari 2006 hingga 2010 adalah sekitar 0.3 peratus bagi murid lelaki dan 0.2 peratus bagi murid perempuan.

"Di peringkat sekolah menengah pula, masalah keciciran adalah sekitar 4.5 peratus bagi pelajar lelaki dan 2.9 peratus pelajar perempuan.

"Saya hanya mengumumkan peratusan sahaja kerana jika diumumkan bilangannya, ia mewakili jumlah yang agak besar," katanya pada majlis penyerahan sumbangan bahan bacaan Utusan Publications & Distributors (UP&D) untuk sekolah-sekolah di daerah ini di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang hari ini.

Pada majlis itu, UP&D menyumbangkan bahan-bahan bacaan bernilai RM25,000 kepada sembilan sekolah yang terlibat dengan banjir pada awal tahun ini dan sekolah pedalaman di daerah ini.

Sumbangan disampaikan Mohd. Puad kepada guru besar SMK Senggarang, SMK Tunku Mahmood Iskandar, Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Lapis, SK Seri Ladang, SK Rengit, SK Merlong, SK Seri Rejo Sari, SK Seri Perpat dan SK Senggarang.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad; Pengarah Eksekutif UP&D, Dr. Ahmad Hairi Abu Bakar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senggarang, Ja'affar Hashim dan Pegawai Pelajaran Daerah Batu Pahat, Shafie Md. Shariff.

Mohd. Puad berkata, kegagalan pelajar menguasai aspek asas pembelajaran dan kemahiran 3M turut menjadi punca mereka hilang minat untuk belajar malah lebih memburukkan keadaan apabila kegagalan itu dibawa ke sekolah menengah menyebabkan sebahagian besar pelajar berhenti sekolah.

"Bagi mengatasi masalah kegagalan pelajar menguasai 3M, kementerian telah memperkenalkan program Literasi dan Numerasi (Linus) sejak awal tahun lalu yang berperanan bukan sahaja bagi mengukuhkan tahap celik huruf pelajar, malah ia mampu mengenal pasti pelajar yang menghadapi masalah menguasai kemahiran 3M," katanya.

sumber: Utusan Online

p/s: Sememangnya tidak dapat dinafikan ada sebahagian pelajar yang langsung tidak boleh membaca apabila menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah. Puncanya ialah kurang membaca kerana faktor tidak minat membaca. Oleh itu, galakkan mereka membaca sejak di peringkat rendah lagi..

No comments:

Post a Comment