Sunday 3 April 2011

Lebih 200,000 tempat ditawar

KUALA LUMPUR 2 April – Lebih 200,000 tempat ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT)
Awam dan swasta kepada para penuntut bagi kemasukan sesi akademik 2011/ 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tawaran itu adalah untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf serta mereka yang mahu melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah pertama, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau memberitahu, 100,500 tempat adalah bagi pengambilan penuntut dalam bidang teknikal, latihan dan kemahiran di 27 buah politeknik serta 323 Institut Latihan Kemahiran Awam (ILKA) pada tahun ini.

“Dengan adanya tawaran melanjutkan pengajian sama ada ke IPT mahupun institut latihan dan teknikal, ia dapat memberi pilihan kepada penuntut untuk mengikuti kursus-kursus yang diminati sekali gus mampu menampung keperluan negara dari segi tenaga kerja mahir.

“Pastinya kerajaan akan meneruskan komitmen menyediakan pendidikan yang berkualiti di institusi pendidikan dan latihan di negara ini. Bagi kerajaan ini merupakan satu usaha berterusan,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berucap semasa menutup Karnival Pengajian Tinggi Negara ‘Jom Masuk U’ Kali Ketujuh di The Mines dekat sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; timbalannya, Datuk Saifuddin Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof. Dr. Rujhan Mustafa dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud.

Karnival Pengajian Tinggi Negara 2011 menyaksikan sambutan luar biasa pengunjung yang mencecah 300,000 orang sejak ia dianjurkan 14 Januari lalu di 10 lokasi terpilih seluruh negara.

Muhyiddin berkata, buat masa ini lebih 580,000 mahasiswa mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama, sarjana dan PhD di semua IPT awam dan swasta.

Beliau berkata, sememangnya matlamat kerajaan menyediakan pendidikan berkualiti kerana ia merupakan landasan bagi melahirkan modal insan yang kreatif, inovatif dan berkemahiran tinggi sejajar dengan aspirasi negara untuk meningkatkan daya saing melalui peningkatan kualiti modal insan.

Beliau turut menyentuh kejayaan negara melaksanakan beberapa inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan bagi meningkatkan akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan.

“Alhamdulillah, hasil pelbagai inisiatif yang dilaksanakan di bawah NKRA pendidikan, kita telah berjaya meningkatkan kemasukan ke prasekolah kepada 72.4 peratus manakala 85 peratus murid sekolah rendah celik huruf.

“Sebanyak 91 peratus pula menguasai numerasi (celik angka), 43 buah sekolah telah mencapai status Sekolah Berprestasi Tinggi manakala 586 atau 7.6 peratus guru besar menerima ganjaran di bawah Bai’ah atau new deal untuk pemimpin sekolah,” katanya lagi.


SUMBER: Utusan Online

No comments:

Post a Comment