Saturday 2 April 2011

Harga barang keperluan di Sabah lebih murah

KOTA KINABALU: Tanggapan kononnya harga barangan lebih mahal di Sabah berbanding Semenanjung didapati tidak tepat, malah kajian mendapati harga kebanyakan barangan keperluan di negeri ini khususnya di sini lebih murah berbanding ibu negara. Penolong Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sabah, Fredoline Gilbert, berkata perkara itu disahkan menerusi kajian perbandingan harga di bandar raya ini dan Cheras, Kuala Lumpur pada 15 Mac lalu. Dalam kajian itu, katanya, KPDNKK membuat tinjauan harga terhadap 240 barangan keperluan pengguna termasuk makanan segar, makanan dalam tin, produk tenusu dan barangan keperluan harian seperti sabun serta minyak masak di kedua-dua kawasan untuk perbandingan.
“Hasilnya, 169 barang lebih murah di sini berbanding Cheras, 11 barang dijual pada harga sama dan hanya 62 barang dijual lebih mahal di Kota Kinabalu berbanding di ibu negara,” katanya pada majlis taklimat dan dialog mengenai isu itu yang dipengerusikan Timbalan Ketua Setiausaha KPDNKK, Mahani Tan Abdullah, di sini semalam.

Fredoline berkata, barangan seperti ikan dalam tin, susu pekat manis dan susu manis cair serta sabun antara produk keperluan harian pengguna yang lebih murah di bandar raya ini berbanding Cheras.

“Selama ini, penduduk Sabah beranggapan harga barangan ini lebih mahal kerana ia dibawa dari Semenanjung. Kos pengangkutan dijadikan faktor utama kenaikan harga tetapi sebenarnya peniaga terutama pengusaha pasar raya mengambil kira banyak lagi aspek lain bagi menentukan harga.

“Ia termasuk gaji pekerja, kadar utiliti dan sewa bangunan. Mungkin kos aspek ini lebih murah di Kota Kinabalu berbanding Cheras, maka pengusaha pasar raya di sini mampu menjual barangan yang dibawa dari Semenanjung lebih murah berbanding di tempat barangan itu dikeluarkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tanggapan masyarakat Semenanjung mengenai harga makanan laut yang dikatakan lebih murah di negeri ini juga meleset dengan sebahagian hasil laut dijual lebih murah di Cheras berbanding di Pasar Besar Kota Kinabalu berdasarkan tinjauan pada 15 Mac lalu.

Beliau memberi contoh bawal hitam dijual RM16 sekilogram di Cheras sedangkan di Pasar Besar Kota Kinabalu ia dijual RM20 sekilogram, tetapi banyak lagi barangan segar lain dijual lebih murah di sini seperti daging kerbau import, kepak ayam dan telur ayam, malah ayam bulat dijual RM8.70 sekilogram di Cheras berbanding RM8.50 di sini.

“Tanggapan peningkatan harga barangan di Kota Kinabalu tahun ini berbanding tahun lalu juga kurang tepat kerana kajian antara 29 Mac tahun lalu dan 29 Mac tahun ini mendapati tiada perubahan harga 169 barangan, manakala harga 24 barangan didapati turun,” katanya.

Kajian perbandingan harga membabitkan 276 barangan itu, katanya, mendapati hanya 83 barangan ada kenaikan harga tetapi kebanyakannya adalah barangan tidak dihasilkan di negeri ini seperti bawang merah dan rempah yang diimport.


sumber: Berita harian online

No comments:

Post a Comment