Monday 4 April 2011

Empat asrama desa di kawasan pedalaman

PENSIANGAN 3 April - Pembinaan empat asrama desa di daerah Nabawan di sini yang dijangka siap hujung bulan ini akan membantu mengurangkan isu pelajar tidak hadir ke sekolah kerana tinggal jauh di pedalaman.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, sebelum ini masalah tersebut berlaku kerana ada di kalangan pelajar terpaksa berjalan selama enam jam, menaiki perahu dan terpaksa menumpang tidur di rumah kawan yang berdekatan dengan sekolah bagi menuntut ilmu.

''Pembinaan empat buah asrama desa yang menggunakan fiber komposit di daerah Nabawan ini mengikut jadual ditetapkan, ekoran itu masalah keciciran atau tidak dapat bersekolah lima hari seminggu akan dapat diatasi.

''Selain daripada projek itu, pembinaan empat unit rumah guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Tinanduk juga sudah siap 95 peratus," katanya di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan kerja ke lima sekolah di Nabawan iaitu SK Kuala Salung, SK Tinanduk, SK Kuala Pensiangan, SK Sibangali dan SK Saliliran.



Hadir sama Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Tan Sri Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan.

Mengulas lanjut, Mohd. Puad berkata, projek di lima buah sekolah tersebut yang menelan belanja RM4.9 juta merupakan komitmen kementerian dalam memberi tahap pendidikan lebih baik kepada masyarakat luar bandar.

Selain itu, katanya, ia juga merupakan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan tempat penginapan lebih baik kepada guru yang berkhidmat di pendalaman.

Dalam pada itu, Mohd. Puad berkata, projek pembinaan makmal komputer di negeri ini yang sebelum ini berhadapan pelbagai masalah sudah ditangani apabila 94 tender sebut harga telah dikeluarkan, manakala 157 lagi akan dilakukan pada 15 April ini

sumber: Utusan Malaysia Online

No comments:

Post a Comment