Thursday 31 March 2011

Sistem wakaf biaya siswa

PETALING JAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bakal membangunkan sistem wakaf untuk membantu membiayai pengajian pelajar daripada keluarga miskin di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata menerusi pendekatan itu individu boleh mewakafkan harta benda mereka kepada KPT atau institusi pengajian tinggi (IPT) yang memanfaatkan kumpulan sasar. Katanya, ketika ini sistem berkenaan diamalkan masyarakat Islam untuk tujuan beribadat dan ia dikesan sesuai diguna pakai untuk membantu keluarga berpendapatan rendah yang sukar membiayai pengajian anak mereka. Beliau berkata, pelaksanaan sistem itu kelak bukan bermakna Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak sesuai, sebaliknya ia mengambil kira ketidakmampuan pelajar daripada keluarga miskin membayar balik pinjaman.

“Kementerian sedang membuat kajian penggunaan sistem wakaf untuk digunakan dalam bidang pendidikan bukan saja untuk pelajar Islam, malah meliputi bukan Islam,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Biasiswa 1Malaysia Binary University College, di sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Dr Rujhan Mustafa; Penasihat Binary University College, Tan Sri Adzmi Wahab dan Pengerusi Eksekutif kolej universiti itu, Datuk Joseph Adaikalam.

Kolej universiti itu menawarkan biasiswa RM15 juta kepada 1,300 pelajar berbilang kaum dalam bentuk biasiswa penuh atau separuh penuh untuk sesi pengajian 2011 hingga 2013.

Mohamed Khaled berkata, ada IPTS sudah mengamalkan konsep wakaf dicadangkan itu, antaranya Albukhary International University yang memberi peluang kepada pelajar miskin menyambung pengajian secara percuma.

Kementeriannya turut menggalakkan IPTS menyediakan biasiswa seperti Binary University College untuk mencari pelajar berkualiti, tetapi gagal melanjutkan pelajaran akibat masalah ekonomi.

Beliau berkata, selain biasiswa dan konsep wakaf, IPTS juga hendaklah memikirkan pendekatan lain untuk membantu pelajar daripada keluarga terbabit untuk melanjutkan pengajian.

“KPT juga pada peringkat akhir penyediaan kertas kerja untuk menjalinkan kerjasama antara IPT di negara ini dengan China,” katanya.

sumber: Berita harian Online

No comments:

Post a Comment