Monday 28 February 2011

11 pelajar dakwa dicabul guru disiplin

Sumber: Berita Harian
Oleh Wan Faizal Ismayatim dan Nor Fazlina Abdul Rahim

Cikgu letak tangan atas dada lepas merotan

KUALA LUMPUR: Sebelas pelajar perempuan Tingkatan Tiga sebuah sekolah menengah di Ampang di sini, mengadu dicabul guru disiplin ketika merotan mereka bagi kesalahan tidak hadir perhimpunan kerana menyiapkan kerja sekolah, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 7 pagi, guru lelaki berusia 40-an itu didakwa meletakkan tangannya pada bahagian dada pelajar terbabit kononnya bagi merasai denyutan jantung ketika merotan punggung mereka. Semua pelajar terbabit sebelum itu dikatakan berada dalam kelas bersama dua lagi pelajar lelaki kerana menyiapkan kerja sekolah sebelum ketidakhadiran mereka ke perhimpunan disedari seorang pengawas. Pengawas itu kemudian mencatatkan nama semua pelajar berkenaan sebelum membawa mereka berjumpa guru disiplin.

Sumber berkata, apabila berjumpa guru disiplin, semua 13 pelajar termasuk dua pelajar lelaki dirotan di punggung dengan guru berkenaan didakwa memegang dada pelajar perempuan kononnya untuk merasai denyutan jantung mereka.

Katanya, berikutan kejadian itu, pelajar perempuan terbabit mengadu kepada ibu bapa mereka sebelum ibu kepada salah seorang pelajar datang ke sekolah pada hari sama untuk mendapatkan penjelasan.

“Ketika wanita itu cuba mendapatkan penjelasan, guru disiplin terbabit dikatakan naik berang dan mencampakkan buku ke lantai menyebabkan wanita terbabit cuba berjumpa pengetua sekolah namun tetap tidak berhasil.

“Berikutan itu, beliau membuat laporan polis pada hari sama,” katanya semalam.

Difahamkan, guru lelaki itu kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu tetapi enggan mengulas lanjut kerana siasatan sedang dijalankan.

No comments:

Post a Comment