Monday 28 February 2011

Goalball insafkan legenda EPL

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR


DENGAN mata yang ditutup gogal hitam, keadaan sekeliling bagi Jesper Blomqvist dan Dominic Matteo menjadi gelap gelita. Tiada langsung cahaya yang dapat dilihat. Kaki yang sebelum itu pantas melangkah, mula menapak perlahan.

Kedua-dua pemain bola sepak legenda dari Manchester United (MU) dan Liverpool itu kemudian dipimpin ke hadapan tiang gol masing-masing. Tiang gol sepanjang sembilan meter itu adalah ukuran penuh sisi lebar gelanggang yang seluas 162 meter persegi.

Sedia menanti mereka adalah empat pelajar yang turut memakai penutup mata dan akan berganding bahu untuk beraksi dalam permainan goalball iaitu sejenis sukan berkaitan bola yang direka khas untuk golongan cacat penglihatan.

Sukan itu memerlukan tiga pemain untuk dua pasukan yang beraksi. Setiap pasukan akan cuba untuk menjaringkan gol dengan cara melontar bola khas yang mempunyai loceng di dalamnya ke gawang lawan.

Walaupun ia kelihatan mudah, namun apabila seorang yang baik penglihatan bertukar menjadi si buta, segala-galanya berubah.

Kelincahan Blomqvist dan Matteo ketika beraksi di padang tidak lagi wujud sebaliknya apa yang dapat dilihat hanyalah pergerakan sangat perlahan dan teraba-raba walaupun cuma untuk bergerak satu kaki ke hadapan.

DALAM permainan goalball penonton perlu sentiasa senyap kerana pemain bergerak berpandukan bunyi loceng yang diletakkan di dalam bola.

“Permainan ini terlalu sukar. Pertama kali mencubanya membuatkan saya bersyukur apabila mempunyai penglihatan sempurna. Meskipun hanya beraksi kurang 20 minit, tetapi ia sangat mencabar.

“Pelajar-pelajar ini sungguh hebat. Di sebalik kekurangan yang dialami (cacat penglihatan), tetapi mereka mampu bermain dengan begitu baik,” kata Blomqvist yang berjaya menyumbang beberapa gol untuk pasukannya.

Dalam perlawanan goalball yang berlangsung di Sekolah Menengah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Setapak, Kuala Lumpur itu, pasukan Blomqvist (MU) berjaya menewaskan Matteo (Liverpool) dengan keputusan 8-2.

Sukan mencabar
Sementara itu, Matteo yang baru ‘menggantung but’ daripada arena bola sepak Liga Perdana England (EPL) tahun lalu, mengakui betapa sukarnya menjadi orang buta.

‘Kehilangan’ pancaindera penglihatan dalam tempoh yang sesingkat itu juga telah membuatkan dia berasa tidak tentu arah hingga membataskan pergerakan.

“Mula-mula nampak mudah, tetapi apabila mata sudah ditutup semuanya menjadi tidak keruan. Namun, kerjasama yang diberikan ahli pasukan saya sangat dihargai. Meskipun kami tewas tetapi ia satu pengalaman yang cukup bermakna bagi saya,” tutur Matteo yang kini berusia 36 tahun.

Kehadiran Blomqvist dan Matteo ke sekolah tersebut merupakan salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Standard Chartered Bank Malaysia (Standard Chartered).

Ia bertujuan bagi mempromosikan projek mereka yang menyasarkan untuk menangani kebutaan yang boleh dicegah atau dipanggil Seeing is Believing (SIB).

PERMAINAN ini mengajar Matteo betapa hidup tanpa daya penglihatan bukanlah mudah.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Standard Chartered, Arif Siddiqui, kekurangan diri tidak boleh menjadi alasan untuk manusia gagal mencapai potensi diri dengan sebaik mungkin.

“Justeru, sudah menjadi tanggungjawab kami untuk menguatkan dan membolehkan mereka menjadi yang terbaik yang mereka dapat. Ini boleh dilakukan dengan melengkapkan mereka dengan peralatan yang diperlukan sekali gus menjadi individu bermaklumat dan sempurna,” ujar Ariff.

Dalam pada itu, Pengetua SM Pendidikan Khas Cacat Penglihatan Setapak, Che’ Fatimah Che’ Abdullah, 57, melahirkan rasa gembira di atas kesudian pihak Standard Chartered membawa dua pemain bola sepak legenda EPL menjejakkan kaki ke sekolah mereka.

“Melalui acara sebegini, ia mampu memberi motivasi kepada pelajar-pelajar agar tidak berasa rendah diri dengan kekurangan yang ada. Malah, ia juga membuatkan para pelajar rasa dihargai dan disayangi masyarakat,” kata Che’ Fatimah.

Selain perlawanan persahabatan goalball, pihak sekolah turut menyediakan beberapa persembahan istimewa yang dipersembahkan oleh pelajar yang berbakat seperti nyanyian, dikir barat dan persembahan muzik.

Lawatan dan kehadiran Blomqvist dan Matteo ke sekolah tersebut diadakan bersempena Kejohanan Bola Sepak Piala EPL Masters Malaysia 2011 tajaan Standard Chartered yang akan berlangsung pada 13 Mac ini di Stadium Putra Bukit Jalil.


Sumber: Kosmo Online
(Bukan mudah bermain permainan ini kerana memerlukan kepekaan deria pendengaran, saya sendiri ketika bermain dengan pelajar saya, terkapai-kapai tidak tentu arah mencari arah bunyi balingan bola tersebut dan sudah tentu  ketika itu kita harus bersyukur kerana diberikan peluang untuk melihat)

No comments:

Post a Comment