Tuesday 15 February 2011

Berita Harian Online | IPT bantu pelajar istimewa

IPT bantu pelajar istimewa
Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my
2010/11/11

Selain prasarana, universiti turut menjalin hubungan dengan industri bagi menyediakan peluang kerja

HASRAT setiap ibu bapa pastinya untuk melihat anak melanjutkan pengajian hingga ke peringkat paling tinggi. Pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan anak yang ditatang bagai minyak penuh itu dapat belajar dalam keadaan selesa, sekali gus cemerlang dalam pelajaran. Walaupun bimbang memikirkan keadaan anak yang mungkin terpaksa hidup sendirian di menara gading kelak, pelbagai kemudahan yang disediakan dapat mengurangkan perasaan itu. Namun, bagaimana dengan nasib orang kurang upaya (OKU)? Jika selama ini, ibu bapa atau ahli keluarga lain menjadi dahan tempat bergantung bagi anak kurang upaya itu, bagaimana keadaannya meniti kehidupan sebagai warga kampus kelak? Persoalan seperti mampukah pelajar OKU khususnya yang cacat penglihatan melalui kehidupan sebagai pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT), antara yang memerlukan jawapan.

Langkah kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan Akta Orang Kurang Upaya (OKU) 2008 membuktikan sikap prihatin terhadap nasib golongan istimewa itu. Walaupun masih banyak ruang masih boleh diperbaiki, langkah terbabit ialah permulaan baik bagi memastikan mereka tidak terus berasa terpinggir daripada arus pembangunan semasa.

Kesungguhan IPT seperti Universiti Malaya (UM) yang sentiasa berusaha menyediakan pelbagai kemudahan bertaraf dunia kepada pelajar OKU sesuatu hasrat yang terpuji dan seharusnya dicontohi pengendali IPT lain.

Kolej Kediaman Ketujuh atau lebih dikenali Kolej Za’ba, UM yang diterajui Prof Madya Dr Rohana Jani antara kolej kediaman IPT memiliki kemudahan paling lengkap untuk golongan OKU.
Walaupun beroperasi di bangunan lama, reka bentuknya diubahsuai dari semasa ke semasa bagi memenuhi keperluan dan keselesaan pelajar OKU yang menetap di situ.

“Kami mengamalkan prinsip berbincang dengan pelajar OKU bagi mengetahui keperluan mereka. Pihak pentadbir UM juga banyak memberikan sokongan dalam memastikan pelajar mendapat kemudahan terbaik.

“Usaha ini ialah kesinambungan sumbangan bekas Naib Canselor UM, Datuk Dr Rafiah Salim. Beliau banyak memberikan tumpuan kepada pelajar OKU dan berusaha mencari jalan penyelesaian terbaik bagi memastikan mereka dapat mengikuti pengajian dalam suasana yang menyenangkan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Dr Rohana berkata, faktor kos yang tinggi bagi membuat pengubahsuaian bangunan dan kemudahan antara masalah besar dalam menyediakan infrastruktur yang bagus.

Katanya, kerja-kerja ubahsuai itu terpaksa dilakukan secara berperingkat, namun sehingga kini sudah banyak kemudahan yang baik dapat ditawarkan kepada pelajar berkenaan.

“Kos mengubahsuai kemudahan bilik air misalnya, memerlukan khidmat nasihat daripada pihak berkuasa tempatan. Begitu juga pelbagai infrastruktur lain. Kami turut menyediakan ramp (laluan khas), kemudahan lif dan kaunter khas bagi memudahkan pelajar OKU ini berurusan setiap hari.

“Selain itu, kami mempunyai Jawatankuasa Penambahbaikan Kemudahan OKU yang bermesyuarat tiga tahun sekali. Mesyuarat membabitkan pelbagai agensi seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang berperanan merancang pelbagai langkah boleh diambil bagi melengkapkan lagi kemudahan,” katanya.

Beliau berkata, pengendali IPT seharusnya peka dengan keperluan pelajar OKU dan sentiasa bertanyakan mereka kemudahan yang perlu dipertingkatkan.

Katanya, penubuhan Persatuan Pelajar Istimewa UM (PERMIUM) pada 1998 juga menjadi titik-tolak kepada usaha menyediakan kemudahan lebih baik kepada pelajar OKU.

“Sehingga kini kami mempunyai kira-kira 40 ahli PERMIUM dan kebanyakannya sedang mengikuti pengajian pada peringkat pasca siswazah. Ahli PERMIUM ini turut dibantu oleh 17 sukarelawan yang terdiri daripada pelajar biasa.

“Langkah ini sebagai permulaan saja, ketika pelajar OKU masih bersama kami (UM). Sekarang kami sedang giat mencari rakan industri bagi menempatkan pelajar ini di pasaran kerja sebaik menamatkan pengajian,” katanya.

Rohani berkata, sehingga kini peratusan pelajar IPT (OKU) yang ditawarkan kerja sebaik menamatkan pengajian masih rendah, sekitar 0.27 peratus berbanding sasaran 1 peratus yang ditetapkan kerajaan sebaik Akta OKU 2008 diluluskan.

Katanya, pemain industri perlu memberikan peluang kepada pelajar OKU menunjukkan kemampuan mereka dan tidak masih mengamalkan sikap diskriminasi sehingga membuatkan mereka (pelajar OKU) terus rasa rendah diri dan hilang keyakinan untuk bersaing.

Bersyukur UM ambil berat keperluan

KEMUDAHAN lengkap dan sikap ambil berat pihak Universiti Malaya (UM) terhadap pelajar OKU antara menarik minat pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kaunseling, Ahmad Shamsuri Muhamad, terus memilih UM sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) melanjutkan pengajiannya.

Beliau yang mengalami masalah penglihatan berkata, layanan baik diterima daripada tenaga pengajar di samping sikap terbuka diamalkan pengetua Kolej Kediaman Ketujuh (Kolej Za’ba) membuatkan beliau dan rakan-rakan lain berasa selesa.

“Mereka memang selalu berbincang dengan kami dan bertanyakan sekiranya ada kemudahan yang boleh diberi penambahbaikan. Sikap ini membuatkan kami ‘jatuh hati’ dan terus setia di sini.

“Selain itu, tidak banyak IPT lain yang mempunyai kemudahan seperti disediakan UM. Sejak daripada zaman sekolah menengah lagi kami dimaklumkan guru kami mengenai kemudahan yang disediakan di UM, dan sebab itu sebaik diberi peluang melanjutkan pengajian, UM menjadi pilihan pertama,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pendapatnya disokong oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Ekonomi, Mohd Rizam Mat Noor, yang berpuashati dengan layanan diberikan UM kepada pelajar sepertinya.

“Seperti saya yang mengalami masalah penglihatan, banyak usaha dibuat UM untuk memenuhi keperluan, seperti laluan khas yang dibina dan kemudahan pengangkutan untuk ke bilik kuliah. Cuma, sekali-sekala saya lebih suka berjalan sendiri ke kuliah.

“Pengetua Kolej Za’ba (Prof Madya Dr Rohani Jani) juga selalu bertanya khabar dan bertanyakan kami mengenai kemudahan yang disediakan. Perbincangan melalui PERMIUM juga diadakan dan ini banyak membantu kedua-dua pihak mengenalpasti kemudahan yang diperlukan,” katanya.

Sementara itu, bagi Presiden PERMIUM, Nor Baidillah Bakri, banyak aktiviti dirancang setiap tahun bagi memastikan pelajar OKU tidak merasa rendah diri dengan kekurangan mereka.

Beliau yang sedang mengikuti pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kaunseling), berkata pihak UM juga sudah bersetuju untuk mengambil kira pendapat mereka (pelajar OKU) sebelum menyediakan kemudahan.

“Kami bukan ‘manja’ sehingga membuat pelbagai permintaan, namun dengan adanya perbincangan antara kedua pihak dapat memastikan setiap kemudahan disediakan itu benar-benar diperlukan.

“Sebab itu, jika UM menyediakan kemudahan tanpa meminta pendapat kami, dan sekiranya kemudahan itu tidak dapat memenuhi keperluan, ia akan merugikan,” katanya.

Beliau berkata, UM juga sudah bersetuju untuk memastikan setiap bangunan baru yang akan dibina dalam kawasan kampus utama Lembah Pantai mempunyai ciri-ciri mesra OKU.
(Terimakasih Universiti Malaya, kerana membantu pelajar OKU untuk menimba ilmu yang lebih tinggi... di sini lah tempat adik ku menimba ilmu. kekurangan bukan penghalang..)

No comments:

Post a Comment