Saturday 19 February 2011

kisah menyayat hati

Mohon anak selesaikan hutang

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

JOHOR BAHRU 18 Feb. - Seorang anak sepatutnya menghiburkan hati ibu bapa yang selama ini bertungkus-lumus membesarkan mereka, namun lain pula jadinya bagi sepasang suami isteri di sini apabila anak yang disayangi sanggup meninggalkan mereka dengan bebanan hutang.

Malah kediaman yang diduduki pasangan warga emas, Abdul Aziz Ibrahim, 75, dan Zahrah Mohamad, 68, sejak 22 tahun lalu bakal dilelong oleh pihak bank akibat kegagalan anak perempuan mereka, Nor Azidah Abdul Aziz, 37, melunaskan hutang yang tertunggak sejak dua tahun lalu.

Dalam nada sedih dan air mata yang bergenang, Zahrah menangisi nasib yang bakal menimpa mereka berdua setelah rumah yang dihuni sekian lama di Taman Universiti di sini bakal dilelong.

"Ke mana kami nak tinggal nanti, sudahlah itu satu-satunya harta kami. Lagipun kami bukannya sihat lagi, kami sakit lutut, darah tinggi, kencing manis. Malah saya pun pekak. Nak naik tangga satu tingkat pun kadang-kadang merangkak.

"Walaupun dia hanya anak tiri, saya tetap sayangkan dia. Saya bantu dia sekiranya ada masalah sehingga sanggup mengeluarkan wang simpanan dan menggadai barang kemas demi membantu dia," katanya sayu.

Zahrah yang tidak bekerja hanya bergantung kepada pencen suaminya sebagai pesara kakitangan hospital sebanyak RM720 sebulan.

"Selepas ini, mahu atau tidak, kami akan tinggal bersama anak lelaki suami saya, Aziham Abdul Aziz, 34, di flat di Pulai. Kami tiada pilihan lain selepas ini," katanya dengan nada sebak sambil merayu supaya Nor Azidah tampil dan membantu menyelesaikan hutang pinjaman bank yang dibuatnya dengan mencagarkan geran rumah tersebut.

Sementara itu, Aziham berkata, pinjaman sebanyak RM102,000 dibuat oleh kakaknya menggunakan namanya bercagarkan geran rumah yang didiami kedua ibu bapa mereka.

"Niat saya semata-mata ingin menolong kakak yang dalam kesusahan kerana dia telah berhutang dengan syarikat tempatnya bekerja berjumlah RM107,892. Saya tak mahu dia ditimpa kesusahan dan dengan itu saya membenarkan dia menggunakan nama saya untuk membuat pinjaman bank.

"Dia berjanji akan membayar semua pinjaman tersebut, namun sejak 2008 dia tidak membuat sebarang pembayaran sehingga jumlah bayaran ansuran tertunggak menjadi RM14,334.

Malah rumah yang dihuni ibu dan ayah saya juga telah dua kali mahu dilelong oleh pihak bank atas kegagalan tersebut," katanya yang merujuk masalah itu kepada Ketua Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, Micheal Tay Chee Boon di sini hari ini.

Aziham berkata, dia dan keluarga pernah beberapa kali pergi ke rumah kakaknya di Bandar Seri Alam, namun dia sering tidak berada di rumah malah pintunya juga sering berkunci.

Mereka juga sentiasa menghubungi dan menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Nor Azidah tetapi tidak satu pun dibalas.

"Apa yang saya mahukan hanya satu, iaitu Azidah bertanggungjawab dengan apa yang telah berlaku. Selagi dia tidak bertanggungjawab, selagi itu saya tidak mengaku dia kakak saya apatah lagi dengan sikapnya yang mengabaikan ibu bapa dan sanggup bertindak menghilangkan diri selepas mendapat apa yang dikehendakinya.

"Kini nasib ibu bapa saya menjadi taruhan dengan ibu mengalami sakit lutut dan ayah menghidap penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan pekak. Jika rumah itu dilelong ke mana lagi ibu bapa saya ingin pergi. Sanggup dia tengok mereka merempat. Saya memang tak boleh terima tindakan dia," katanya.
sumber: Utusan Melayu
( Hargai dan bahagiakan ibu bapa kita selagi mereka masih hidup. Terharu sangat membaca cerita di atas)

No comments:

Post a Comment