Friday 18 February 2011

jIKA Ada UsaHa

Pendapatan tukang kasut cecah RM5,000 sebulan


18/02/2011 4:01pm

ALOR SETAR 18 Feb. - Siapa sangka seorang tukang kasut boleh memperoleh pendapatan hampir sama dengan pegawai kerajaan, malah mungkin lebih tinggi daripada gaji seorang kakitangan yang berkelulusan ijazah.

Tinjauan Bernama di Jalan Selamat, di tengah-tengah bandar raya Alor Setar, mendapati rata-rata tukang kasut di situ memperoleh pendapatan antara RM2,000 dan RM5,000 sebulan.

Terdapat sekurang-kurangnya 12 tukang kasut mencari rezeki di situ dan setiap tukang kasut mempunyai pelanggan tetap.

Seorang tukang kasut yang ditemui, Ahmad Mohtar Baharom, 54, berkata, dia kini memperoleh pendapatan kira-kira RM5,000 sebulan hanya dengan mengambil upah membaiki kasut.

Dia berkata, tidak ramai yang percaya dengan pendapatan yang mampu diperolehinya itu kerana masyarakat beranggapan pendapatan mereka hanyalah umpama ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.

"Sebelum ini saya bekerja dengan kerajaan tetapi disebabkan saya tidak boleh bekerja di bawah arahan orang, jadi saya berhenti kerja dan memulakan perniagaan ini secara serius.

"Berbekalkan kemahiran membaiki kasut yang ada semasa belajar di universiti dulu, saya memulakan perniagaan membaiki kasut, walaupun pada masa itu pendapatan yang saya terima hanya sekitar RM30 sehari.
"Saya sentiasa berfikiran positif dan berani menerima cabaran untuk memastikan kerjaya itu mencapai kejayaan. Saya tidak berputus asa dan meneruskan juga pekerjaan ini sehingga hari ini,” katanya ketika ditemui di sini.

Ahmad Mokhtar yang merupakan graduan Diploma Seni Bina dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan memiliki Ijazah Seni Bina dari University of Melbourne, Australia berkata, semasa belajar di UiTM, dia bekerja sementara sebagai tukang kasut bagi menampung kos belajar dan mengumpul wang untuk melanjutkan pelajaran di luar negara

sumber: Bernama
( Pada pandangan saya, selagi kita berupaya melakukan apa pekerjaan, apa juga yang boleh mendatangkan manfaat boleh membawa rezeki. Jika kita berusaha tanpa mengenal putus asa, sudah tentu kejayaan menanti kita. Khusus untuk para siswazah, iktibar di sini ialah  jangan  terlalu memilih pekerjaan selepas tamat pengajian, yang penting kerja halal dan pendapatan tersebut  boleh  memberi rezeki  buat ibu bapa dan keluarga kita)

No comments:

Post a Comment