Sunday 20 February 2011

Berilah mereka peluang

Diminta timbang serap GSTT

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
utusansabah@utusan.com.my

KOTA KINABALU 20 Feb. - Kementerian Pelajaran diminta menimbang untuk menyerap semua Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang telah ditamatkan kontrak baru-baru ini bagi mengatasi masalah kekurangan guru di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, bagi mengatasi masalah itu juga kementerian itu diminta memberikan keutamaan dan peluang kepada guru berasal dari negeri ini berkhidmat di Sabah.

"Jadi kita perlu bertanya kalau ada kekosongan dan kekurangan guru kenapa pula GSTT yang memang mempunyai ijazah itu dilepaskan.

"Malah saya juga ingin bertanya, kalau ada kekurangan di sini (Sabah) kenapa pula budak-budak kita dihantar ke Semenanjung," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran kem kesihatan dan kempen derma darah sempena ulang tahun ke-25 Parti Bersatu Sabah di Megaloong Mall di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Sumber dan Teknologi Maklumat negeri, Datuk Dr. Yee Moh Chai.
Baru-baru ini seramai 500 GSTT di negeri ini tidak disambungkan perkhidmatan selepas kontrak mereka tamat.

Tegas Pairin, usaha menampung kekurangan guru di negeri ini tidak akan dapat diselesaikan dengan hanya mengimport guru-guru dari Semenanjung.

Malah katanya, pelantikan guru-guru dari Sabah juga lebih efektif memandangkan mereka lebih memahami keadaan dan situasi di negeri ini.

"Kita tidak lagi perlu memindahkan guru-guru daripada tempat lain (Semenanjung) ke sini kerana kita tahu banyak di antara mereka yang datang ke sini tidak begitu selesa kerana tidak biasa dengan keadaan di sini," jelas beliau.
Sementara itu, Pairin berharap Kementerian Pelajaran melakukan tindakan segera bagi mengatasi masalah kekurangan guru di negeri ini yang telah berlarutan sejak sekian lama.
Beliau berharap lebih ramai rakyat negeri ini diberi peluang untuk mengikuti latihan perguruan seterusnya mengisi kekosongan guru

No comments:

Post a Comment