Monday 21 February 2011

Calon anak tempatan diutamakan menjadi guru

21 February 2011 19:17   
\KOTA KINABALU - Kementerian Pelajaran akan memberi keutamaan kepada calon anak tempatan yang akan mengajar di Sabah dan Sarawak, namun kualiti guru tidak boleh dikompromi.
Ketika menegaskan perkara itu, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr Wee Ka Siong berkata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, turut berpendapat bahawa keutamaan harus diberi kepada penduduk Sabah dan Sarawak untuk mengajar di kedua-dua negeri itu, asalkan mereka berkelayakan.
"Pendirian kementerian kami ialah kami mesti mendapatkan calon berkelayakan untuk memohon Kursus Perguruan Lepas (KPL) SPM dan Kursus Perguruan Lepas Ijazah (KPLI).
"Kami tidak boleh menawarkan tempat kepada sesiapa sahaja, jika calon tidak boleh menamatkan latihan kerana tidak memenuhi syarat kelayakan asas, kami tidak mahu terjerumus dalam keadaan ini.
"Dalam kata lain, untuk memberi keutamaan kepada anak Sabah dan Sarawak, kami tidak boleh terus menerus memberi guru sementara kepada Sabah.
"Kami mahu mereka mendapat guru berkelayakan dan jika kami tidak memberi mereka guru berkelayakan, mereka akan berkata kami meminggirkan Sabah dan Sarawak. Jadi anda boleh lihat betapa kami berada dalam kedudukan yang sukar," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak SJK (C) Chee Hwa di sini Isnin.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan yang menggesa kementerian supaya melanjutkan kontrak 578 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di Sabah yang tamat pada tahun lepas.
Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata perlanjutan kontrak itu perlu memandangkan berlaku kekurangan guru di Sabah, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman, namun kementerian itu sebaliknya mempertimbangkan untuk menghantar guru dari Semenanjung Malaysia untuk mengatasi masalah itu.
Wee berkata saban tahun kementerian menerima beribu-ribu permohonan bagi jawatan guru dalam semua kategori sekolah.
Beliau berkata kementerian berharap ahli politik dan kalangan pemimpin di Sabah memberi sokongan dengan membawa lebih ramai anak tempatan yang berminat dalam profesion berkenaan serta menggesa mereka supaya menghadiri temuduga terbuka pada Mac ini.
"Pengambilan bagi KPL SPM akan bermula bulan depan dan saya harap penduduk Sabah akan mengambil inisiatif dengan memohon kemasukan ke institut latihan perguruan untuk meningkatkan jumlah guru berkelayakan," katanya.

Sabtu lepas, Timbalan Menteri Pelajaran Dr Mohd Puad Zarkashi berkata kerajaan akan terus menghantar guru dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak, sehingga kedua-dua negeri terbabit mempunyai gurunya sendiri yang cukup untuk memenuhi keperluan.
Dr Mohd Puad berkata kedua-dua negeri berkenaan masih tidak dapat memenuhi kuota guru berdasarkan permintaan, walaupun dengan temuduga terbuka diadakan di kedua-dua negeri itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment