Tuesday 1 March 2011

Matlamat kerajaan laksana sistem persekolahan satu sesi

TEMERLOH: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata adalah menjadi matlamat kerajaan untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi kerana ia lebih sesuai untuk pembelajaran di negara ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, bagaimanapun beberapa perkara berkaitan kemudahan infrastruktur dan penambahan tenaga pengajar perlu diselesaikan pihak kerajaan terlebih dahulu sebelum sistem itu dapat dilaksanakan sepenuhnya. "Walaupun baik, tapi untuk mencapai sasaran itu ianya membabitkan pelbagai perkara, infrastruktur, tenaga pengajar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan dengan warga pendidik di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau di sini, petang tadi. Beliau berkata, objektif kerajaan ialah untuk melaksanakan sistem persekolahan satu sesi supaya aktiviti kokurikulum dapat diadakan pada waktu petang.

"Ketika ini sesi persekolahan pagi perlu ditamatkan pada jam 1 (tengah hari) atau 2 (petang), dan sesi petang sampai larut petang, kalau kita nak buat aktiviti kokurikulum, tak boleh kecuali (pada) hari-hari lain."

Muhyiddin berkata, beliau tidak dapat menjangkakan bila sistem persekolahan satu sesi dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia memerlukan pertambahan jumlah sekolah dan juga guru.

"Memang banyak faedah apabila kita laksanakan satu sesi persekolahan, tapi untuk melaksanakannya kita perlu lebih banyak sekolah dan guru untuk menampung keperluan....kalau tak mampu kita (terus) gunakan dua sesi," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin berkata, kerajaan Barisan Nasional sentiasa memperuntukkan jumlah yang besar untuk pendidikan negara.

"Kita membelanjakan berbilion-bilion ringgit untuk sistem pendidikan negara, tahun ini sahaja sebanyak RM26 bilion untuk pengurusan dan sebanyak RM6.4 bilion lagi untuk pembangunan," katanya. -
BERNAMA
Sumber: Berita harian

No comments:

Post a Comment