Sunday 27 March 2011

200,000 ghaib elak bayar hutang PTPTN

KUALA KRAU - Seramai 200,000 peminjam Perbadanan Tabung Pengajian Tinggi Negara (PTPTN) gagal dihubungi berhubung pembayaran balik pinjaman.
Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said berkata, pihaknya telah menggunakan pelbagai saluran termasuk media bagi mengingatkan peminjam namun masih ramai yang gagal berbuat demikian.

"Saya memohon kepada ibu bapa atau penjaga kepada peminjam terbabit menasihati anak-anak mereka yang menerima pinjaman tersebut supaya menjelaskannya dalam tempoh ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru di Sekolah Kebangsaan Jengka 18 di sini semalam.

Menurut Ismail, sasaran kutipan hutang pinjaman itu ialah sebanyak RM4.1 bilion pada tahun lepas tetapi jumlah yang berjaya dikutip hanya RM2 bilion atau sebanyak 48 peratus sahaja.

Dalam pada itu beliau berkata, PTPTN memperuntukkan RM6 bilion sebagai pinjaman kepada 235,000 pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta pada tahun ini.

Jelas Ismail, para pelajar perlu membuat permohonan melalui dalam talian dan akan ditawarkan pinjaman itu untuk sesi pengajian September ini.


sumber: Kosmo online

No comments:

Post a Comment