Wednesday 2 March 2011

USM cipta laman pengajaran braille

2011/03/03
GEORGETOWN: Seorang pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta laman sesawang khusus dikenali eKodBrailleBM yang menawarkan pengajaran braille kepada orang normal bagi membantu proses pengajaran dan pembelajaran golongan cacat penglihatan.

Ciptaan itu yang dipercayai pertama di dunia, dihasilkan atas kesedaran kekurangan sumber pembelajaran berasaskan braille bagi digunakan sebagai alat sokongan dalam proses pengajaran dan pembelajaran untuk golongan cacat penglihatan. Produk eKodBrailleBM iaitu Sistem Tutorial Multimedia Atas Talian Kod Braille Bahasa Malaysia dihasilkan Prof Madya Dr Lee Lay Wah dari Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP), bagi membantu sesiapa saja 'celik' bagi mengajar orang buta. Ia adalah sistem pertama seumpamanya di dunia memuatkan alat bantu mengajar yang mudah digunakan berpandukan kepada empat teori pembelajaran utama merangkumi teori pembelajaran masteri, pengajaran, teori multimedia dan teori motivasi.

Lay Wah berkata, eKodBrailleBM dicipta dengan beberapa kelebihan yang bersifat interaktif selain mempunyai ciri seperti animasi Flash, Braille Simulator, penilaian bimbingan, permainan Braille dan tutor maya.

"Kelebihan produk ini membolehkan sistem pembelajaran dilakukan secara individu mengikut kelapangan diri masing–masing,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Sistem tutorial multimedia itu menawarkan kursus kod braille dalam lima tahap pembelajaran secara lengkap iaitu asas braille, singkatan braille, tanda braille, tanda matematik asas dan braille lanjutan yang membolehkan mereka menjejaki langkah pembelajaran.

Setiap individu mengikuti kursus dalam talian akan dianugerahkan sijil bagi setiap kejayaan menamatkan tahap pembelajaran serta menerima lima sijil pencapaian yang diiktiraf PPIP.

SUMBER: Berita harian online
P/S- semoga lebih ramai masyarakat berminat belajar kod braille. Bukan mudah nak belajar tetapi jika ada minat semua boleh jadi..

No comments:

Post a Comment