Thursday 31 March 2011

RM1.2 juta bantu pelajar masuk IPT

KOTA KINABALU 30 Mac - Majlis Amanah Rakyat (Mara) negeri memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi membayar pinjaman pendahuluan Mara kepada pelajar yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) pada tahun ini.

Pengarah Mara negeri, Kamaruzdzaman Md. Ali berkata, peruntukan berkenaan akan diberikan kepada pelajar yang mendapat tajaan Mara bagi melanjutkan pelajaran di IPT.

"Mereka yang layak akan menerima pendahuluan sebanyak RM1,500 bagi meringankan beban khususnya semasa pendaftaran di IPT terbabit.

"Setakat Mac ini sahaja kita telah membelanjakan RM130,500 bagi membayar pinjaman pendahuluan Mara kepada 87 orang pelajar di negeri ini," katanya ketika ditemui pada karnival pendidikan Mara di pusat beli-belah Suria Sabah, di sini hari ini.

Sebanyak 70 IPT menyertai karnival selama dua hari itu bermula semalam.

Menurut Kamaruzdzaman, peruntukan tersebut merupakan salah satu usaha Mara bagi membantu meringankan beban pelajar khususnya golongan kurang berkemampuan di negeri ini.

Jelasnya, bantuan kewangan dalam bentuk pinjaman pelajaran itu merupakan salah satu daripada aktiviti utama Mara di bawah sektor pendidikan.

Beliau memberitahu, pada tahun lalu Mara turut memperuntukkan sebanyak RM1.2 juta bagi pinjaman pendahuluan pelajaran Mara.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak RM1.14 juta telah dibelanjakan melibatkan 762 orang pelajar.

Sementara itu Kamaruzdzaman berkata, berdasarkan sambutan awal pihaknya menjangkakan lebih 3,000 orang akan menghadiri karnival tahunan ini.

"Melalui karnival ini orang ramai termasuk ibu bapa, lepasan sekolah dan pelajar sekolah akan mendapat maklumat yang lengkap untuk melanjutkan pelajaran.

sumber: utusan malaysia Online

No comments:

Post a Comment