Friday 4 March 2011

Trauma ingin ramping

Oleh Bharuddin Sulong 2011/03/05

Guru rugi RM9,500 akibat radang kulit jalani rawatan

JOHOR BAHRU: Hasrat seorang guru memiliki badan ramping akhirnya bertukar trauma selepas rawatan dijalaninya di sebuah pusat kecantikan dekat Taman Johor Jaya sini, menyebabkannya menderita keradangan kulit di beberapa bahagian badan selain kerugian RM9,500.

Kejadian itu turut meninggalkan trauma mendalam terutama hubungannya dengan suami serta rasa malu berdepan khalayak khususnya rakan sejawat dan murid-murid. Berikutan itu, guru berusia 34 tahun yang enggan dikenali dan mengajar di sebuah sekolah dekat Pandan itu, tampil dan meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan promosi pelangsingan badan agar tidak senasib dengannya. Beliau turut memfailkan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) pada 21 Februari lalu serta membuat laporan polis sehari kemudian supaya tindakan sewajarnya dapat diambil kepada pengusaha pusat kecantikan yang cuba menipu pengguna.

Wanita itu berkata, selepas sekian lama berazam menguruskan badan, beliau mengambil keputusan mencuba kaedah rawatan itu kerana tertarik promosi pusat kecantikan berpusat di Taman Johor Jaya itu pada akhir November lalu.

“Selepas berbincang dengan pengurus pusat kecantikan itu mengenai kaedah rawatan terbaik, saya bersetuju membayar RM9,500 bagi kos ubat-ubatan dan 10 sesi rawatan yang diikuti dalam tempoh tertentu.

“Namun hanya selepas tiga kali rawatan disyorkan, beberapa bahagian badan seperti belakang lutut dan lengan mengalami keradangan kulit dengan kesan seakan-akan terbakar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Akibat tidak berpuas hati dengan keadaan itu, beliau bersemuka dengan pengurus pusat kecantikan itu dan meminta supaya ubat serta rawatan berkenaan ditukar.

“Malangnya, beliau enggan berbuat demikian atau bertanggungjawab di atas masalah yang saya alami meskipun ia berpunca daripada sesi rawatan dan produk yang digunakan. Wang saya hangus begitu saja.

“Saya mengesyaki pengusaha itu sengaja menipu pelanggan seperti saya berikutan ubat-ubatan yang dibekalkan tidak dibungkus dengan baik dan menyatakan kandungan bahan yang digunakan serta alamat pengilang seperti sepatutnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment