Monday 28 March 2011

Pasca SPM: Pilih kursus secara bijak, ikut minat

Ketika ini, ibu bapa dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sibuk membuat 'kerja rumah' untuk memilih kursus dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang menepati impian masing-masing sama ada di dalam atau di luar negara. Sama ada IPT awam atau swasta bergantung kepada keputusan SPM, kesesuaian kursus dan kemampuan kewangan.

Bagi 9,239 calon yang mendapat keputusan gred cemerlang (A+, A, A-) dalam semua mata pelajaran, tentunya tidak berdepan masalah untuk memilih kursus idaman di universiti pilihan hati masing-masing. Mereka ada keistimewaan dan kebebasan kerana menepati syarat kelayakan yang ditetapkan tetapi jangan rambang mata. Buat pilihan mengikut minat dan cita-cita. Jangan ikut kawan takut merana badan.

Luaskan skop dan buat kajian teliti. Usah bataskan pilihan kepada kerjaya 'popular' seperti doktor, jurutera dan peguam sahaja. Pertimbangkan juga opsyen untuk menceburi bidang yang niche tetapi berpotensi serta menjanjikan pulangan lumayan seperti industri maritim, aeroangkasa dan aviation. Kursus ini ditawarkan oleh IPT tempatan.

Paling utama, pastikan kursus yang ingin dipohon khususnya yang ditawarkan oleh IPT swasta diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan menerima akreditasi oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Sila rujuk laman sesawang rasmi untuk rujukan lanjut atau layari http://www.mohe.gov.my/.

Perlu diingat bahawa bagi kursus kedoktoran dan kejuruteraan, ia perlu diiktiraf oleh pertubuhan profesional yang berkaitan. Begitu juga untuk kursus yang ditawarkan oleh universiti luar negara.

Kepada yang berhasrat ingin belajar di luar negara, sila pertimbangkan faktor keselamatan kerana ketika ini banyak negara yang sedang dilanda krisis. Negara-negara di Asia Barat seperti Mesir, Bahrain dan Yaman sedang berlaku pergolakan politik.

Manakala Jepun pula berdepan ancaman radiasi nuklear yang berada pada paras bahaya dan mencemari air serta makanan akibat bencana tsunami.

Sila ikuti perkembangan terkini dan dapatkan maklumat yang sahih daripada Kementerian Pengajian Tinggi di talian 03-88835000.

Dalam pada itu, peluang masih ada untuk yang kurang cemerlang dalam SPM. Sertai bidang kemahiran sama ada di politeknik atau di institusi latihan kemahiran.

Contohnya , Institut Latihan Perindustrian (ILP) di bawah kelolaan Kementerian Sumber Manusia, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan Institut Kemahiran Mara (IKM).

Pelajar yang tamat latihan akan menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 1, 2, 3, 4 dan 5. Mereka yang mendapat sijil berkenaan biasanya bekerja di sektor industri dan menerima gaji setanding dengan graduan lepasan universiti.

Pada masa sama, semak tawaran biasiswa dan pembiayaan pendidikan di akhbar untuk membantu mengurangkan tanggungan kewangan ibu bapa.

sumber: Utusan Online
p/s: Buatlah pilihan yang terbaik untuk masa depan anda

No comments:

Post a Comment