Monday 7 March 2011

Melegakan 578 guru di Sabah

Sumber: utusansabah@utusan.com.my
KOTA KINABALU 6 Mac - Pengambilan semula perkhidmatan 13,000 guru sandaran tidak terlatih (GSTT) membuktikan keprihatinan kerajaan membela nasib guru-guru terbabit.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Sabah, Musliati Moslimin berkata, pengumuman tersebut melegakan seramai 578 GSTT rakyat Sabah yang sebelum ini nasib mereka dalam keadaan terumbang-ambing apabila menerima notis penamatan tugas akhir tahun lalu.

"Sebelum ini GSTT telah mencurahkan bakti dan komitmen mereka dengan baik bagi menampung keperluan guru-guru khususnya di kawasan pedalaman agar proses pendidikan berjalan dengan lancar dan berkesan.

"Tentu sahaja apabila penamatan tugas berlaku mereka berada dalam keadaan tersepit kerana mempunyai pelbagai beban kewangan dan tanggungan yang perlu dipikul," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran, semalam mengenai langkah kerajaan mengambil semula 13,000 GSTT selepas ditamatkan perkhidmatan akhir tahun lalu.

Mengulas lanjut, Musliati berkata, apa yang penting kini ialah semua GSTT terbabit bertugas semula dengan penuh dedikasi serta menerima cabaran jika ditugaskan di tempat baru.

Katanya, peluang diberikan oleh Kementerian Pelajaran itu tidak sewajarnya disia-siakan begitu sahaja dan sebaliknya tingkatkan semangat untuk menabur bakti bagi melahirkan generasi yang lebih cemerlang dalam aspek akademik dan sahsiah diri.

"Sebab itu kita menggesa guru berkenaan menerima cabaran Timbalan Perdana Menteri untuk menerima baik peluang itu meskipun di tempatkan jauh.

''Ini kerana keutamaan kini ialah melaksanakan dengan sebaik mungkin amanah dan kepercayaan yang diberikan oleh kerajaan.

"Sebenarnya inilah bukti kredibiliti kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa peka dengan keluhan dan suara rakyat," ujarnya.

Beliau berkata, pada masa yang sama, guru-guru terbabit perlu berusaha memohon untuk menyertai perkhidmatan perguruan melalui tawaran-tawaran Diploma Pendidikan Guru atau Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) supaya dapat menyertai perkhidmatan perguruan dengan lebih terjamin.

Musliati berkata, golongan itu sewajarnya diberi keutamaan menyertai program diploma perguruan, KPLI serta diserap sebagai guru tetap melalui kursus lanjutan atau kursus dalam cuti kerana telah mempunyai pengalaman serta terbukti mampu melaksanakan tugas dengan baik.

"Pendekatan seperti itu bukan sahaja baik untuk guru berkenaan tetapi juga nasib pelajar di kawasan-kawasan tertentu yang berhadapan dengan kekangan kekurangan guru," ujarnya.

No comments:

Post a Comment