Wednesday 23 March 2011

cemerlang walaupun cacat penglihatan

KUANTAN 23 Mac - Walaupun cacat penglihatan sejak berusia sembilan tahun, ia tidak menghalang Muhammad Ammar Ibrahim Astar, 19, untuk mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010 yang diumumkan hari ini.

Anak keempat daripada 11 beradik yang bercita-cita menjadi pensyarah dalam bidang Ekonomi Islam itu, mendapat keputusan 7A, 2B dalam peperiksaan tersebut.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di sini itu merupakan pelajar cemerlang peringkat negeri bagi kategori calon istimewa (cacat penglihatan).
Muhammad Ammar Ibrahim ketika ditemui gembira dengan kejayaan tersebut dan amat bersyukur kerana memperoleh keputusan cemerlang itu.
"Saya amat berterima kasih kepada guru dan rakan-rakan yang banyak membantu dalam pembelajaran dan ibu bapa saya yang banyak memberi sokongan dan dorongan sehingga boleh mencapai tahap begini," katanya.
Anak peneroka Felda Jengka 24, Maran itu merupakan antara pelajar cemerlang SPM yang diumumkan oleh Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Mazlan Mohammad, di sini hari ini.
Muhammad Ammar Ibrahim berkata, kekurangannya menjadikan dia seorang yang begitu tabah dalam menghadapi pelbagai kesukaran ketika belajar.
"Memang agak susah untuk belajar kerana kebanyakan buku teks masih tidak menggunakan tulisan Braille namun dengan bantuan guru-guru dan rakan-rakan sekolah, saya dapat belajar dengan mudah," katanya.
Sementara itu, ibunya, Wan Mahani Asri, 42, berkata, dia gembira dengan pencapaian anaknya itu walaupun keadaan anaknya tidak seperti pelajar yang lain.
"Saya bangga dengan Muhammad Ammar kerana dia tidak pernah menjadikan kekurangan yang ada pada dirinya sebagai alasan malah saya tidak pernah menggangap dia ada kekurangan," ujarnya.
Bapa pelajar terbabit, Astar Ali, 47, turut mengucapkan terima kasih kepada guru yang mengajar anaknya sehingga berjaya dalam SPM.
"Kami sekeluarga sentiasa memberikan dorongan kepadanya supaya berjaya dalam kehidupan dan menjadi manusia berguna," ujarnya

sumber: Utusan Melayu

No comments:

Post a Comment