Tuesday 8 March 2011

Kurang kesedaran punca kanak-kanak autisme disisih

KUANTAN: Kekurangan kesedaran dan pengetahuan ibu bapa, guru dan masyarakat mengenai keperluan pendidikan menyeluruh dan berterusan kepada kanak-kanak autisme di negara ini, menyebabkan mereka membesar di bawah paras kemampuan sebenar.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri (BAKTI), Datin Seri Rosmah Mansor, berkata ia juga menyebabkan kanak-kanak sedemikian terus terasing dalam kelompok kecil, sedangkan mereka mampu menjalani kehidupan nor-mal jika diberi pendidikan khas. Isteri Perdana Menteri berkata, masyarakat sering menganggap kanak-kanak berkenaan tidak mampu berkomunikasi atau bergaul manakala ibu bapa sering bertelagah kerana tekanan situasi. "Walaupun kebanyakan kanak-kanak autisme ini mempunyai gangguan perkembangan mental, melalui pendidikan sewajarnya mereka mampu memiliki kehidupan lebih baik malah mungkin lebih berjaya berbanding individu normal.

"Kanak-kanak ini yang disangka kurang bijak, sebenarnya lebih bijak daripada pelajar lain kerana kecenderungan mereka adalah dalam bidang matematik, lukisan dan muzik, cuma mereka terkongkong dalam dunia sendiri,” katanya ketika merasmikan Kursus Kemahiran Kejurulatihan untuk Penyelia Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) di sini, semalam.

Hadir sama Yang Dipertua Persatuan Amal dan Kebajikan Isteri Wakil Rakyat Pahang (TERATAI) yang juga isteri Menteri Besar Pahang, Datin Seri Junaini Kassim.

Pada majlis terbabit, Rosmah turut menyampaikan cek sumbangan berjumlah RM45,000 kepada PDK di seluruh Pahang.  Selain itu, Rosmah berkata, di Malaysia umumnya, dianggarkan satu daripada 600 kanak-kanak mengalami masalah autisme dan perangkaan tahun lalu menunjukkan kira-kira 47,000 penduduk di negara ini mengalami autisme.
Berikutan itu, katanya, program Semai BAKTI sememangnya memberi penekanan kepada subjek autisme kerana pendedahan awal mengenainya mampu memberi sinar harapan baru kepada golongan berkenaan.
Menerusi program itu juga, beliau berkata, pihaknya menyediakan peluang dan kemudahan pendidikan yang relevan untuk kanak-kanak autisme bagi mereka mengembangkan bakat dan potensi diri.
"Saya juga berharap sebarang usaha program Semai BAKTI seharusnya lebih kolaboratif dengan pelbagai pihak terutama ibu bapa dan masyarakat serta dibuat secara kolektif untuk mencapai hasil yang lebih baik,’ katanya.
sumber: Berita Harian Online
 
p/s: Kurangnya pendedahan dan pengetahuan  mengenai apakah dia Autismekepada masyarakat luar  menyebabkan masyarakat kurang peka dengan kehadiran kanak-kanak autisme.

No comments:

Post a Comment