Tuesday 22 March 2011

Penangan pisang goreng Sabah

KOTA KINABALU 21 Mac – Kalau Kelantan terkenal dengan budu, Melaka dengan kelazatan cencaluknya dan Terengganu dengan kesedapan keropok lekor, Sabah turut mempunyai makanan kegemaran iaitu pisang goreng Sabah.
Mungkin makanan yang menjadi antara trademark negeri itu agak biasa tetapi hakikatnya kelazatannya tidak dapat ditandingi di tempat lain.
Ini terbukti apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri memuji kelazatan pisang goreng Sabah ketika singgah di kedai makan Dah Hin Kak Tini di Lintasan Deasoka, baru-baru ini.
“Pisang goreng Sabah memang sedap,” kata-kata Perdana Menteri itu tidak mungkin dapat dilupakan oleh pemilik kedai makan berkenaan, Usop Pardi.
Tinjauan Utusan Malaysia di kedai makan berhampiran bangunan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu itu mendapati pisang goreng berkenaan memang betul-betul seperti ‘pisang goreng panas’ apabila orang ramai terpaksa berbaris panjang untuk mendapatkannya.
Pengusaha pisang goreng di kedai makan itu, Atan Ahmad, 60, berkata, dia mula menjual pisang goreng di Kedai Dah Hin Kak Tini sejak tahun 90-an lagi.
“Sebenarnya saya telah mula berniaga pisang goreng sejak 1979 di Tanjung Aru sebelum berpindah ke sini setelah dijemput oleh rakan saya, Usop yang berniaga di kedai makan ini.
“Alhamdulillah di sini sangat laris dan setiap hari pisang goreng saya akan habis dijual,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Kata Atan, pada masa ini pisang goreng itu dijual dengan harga yang murah iaitu RM1 bagi lapan keping.
Menurutnya, setiap hari dia memerlukan 25 kilogram tepung gandum dan sekotak tepung beras untuk menyediakan adunan tepung istimewa pisang gorengnya.
“Selain itu bagi menjalankan perniagaan yang bermula dari pukul 10 pagi hingga 5 petang saya menempah pisang Sabah sebanyak RM150 setiap hari.
“Itu tidak termasuk bahan lain seperti telor, minyak dan tepung tambahan lain,” katanya yang setiap hari dibantu oleh isteri dan anaknya.
Ditanya mengenai rahsia kelazatan pisang gorengnya, Atan berkata, keistimewaan pisang goreng yang dihasilkannya ialah ia rapuh dan tidak berminyak.
Beliau memberitahu, selain resipi tersendiri pelbagai faktor perlu diambil kira dalam menghasilkan pisang goreng yang sedap.
Antaranya, Atan berkata, pemilihan pisang yang masak, cara menggoreng dan juga campuran bahan-bahan dengan secukup rasa.
Tambahnya, dalam menghasilkan pisang goreng tempoh memasak harus diambil kira bagi memastikan kesedapan goreng pisang berkenaan.
“Ada orang yang datang melihat sendiri bahan yang saya guna dan apabila dicuba di rumah, mereka mengatakan tidak sesedap seperti yang saya jual.
“Mungkin pengalaman saya selama ini membuatkan saya mampu membuat sukatan yang betul setiap kali menyediakan goreng pisang hingga membuatkannya sedap,” katanya.
Sementara itu, pemilik kedai berkenaan, Usop berkata, kunjungan Perdana Menteri amat bermakna sekali apatah lagi pemimpin nombor satu negara itu turut menjamah makanan dan minuman di kedainya.
Selain pisang goreng, katanya, tarikan lain di kedai makan berkenaan ialah soto, nasi campur dan pelbagai aneka masakan lagi.
“Saya tahu rakan lama saya ini memang mempunyai resipi pisang goreng yang sedap jadi saya membawanya ke kedai saya.
“Pisang goreng ini memang laris apatah lagi setelah Perdana Menteri merasai sendiri. Kini pisang goreng ini dipanggil oleh orang ramai dengan nama pisang goreng PM,” katanya.
Tambahnya, antara orang terkenal yang turut membeli pisang goreng berkenaan termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan menteri-menteri Kabinet negeri.

Sumber: Utusan Melayu
 
p/s: saya pernah merasa dan memang sedap dan kurang berminyak berbanding gerai yang menjual goreng pisang yang lain rapuh tapi berminyak..

No comments:

Post a Comment