Tuesday 1 March 2011

NUTP tak bela

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak membela guru yang melakukan jenayah terutama membabitkan pencabulan ke atas pelajar, sebaliknya menyerahkan kes berkenaan kepada polis menyelesaikannya.

Setiausaha Agungnya, Loke Yim Pheng berkata, pendirian NUTP sangat tegas dan mahu semua ahlinya akur bahawa tiada perlindungan diberi sekiranya mereka benar-benar disabitkan bersalah atas jenayah dilakukan hingga memberi implikasi buruk.

Katanya, kes membabitkan seorang guru disiplin lelaki berusia 30-an di sekolah menengah di Ampang yang didakwa mencabul 12 pelajar perempuan sangat serius dan pihaknya enggan terbabit sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa.

“Memang guru berkenaan ada menghubungi saya selepas berita kejadian terbabit tersiar dan dia mengatakan tidak melakukan perbuatan itu, tetapi saya maklumkan kepadanya mengenai pendirian NUTP yang tegas dalam soal ini,” katanya.

“Saya katakan pihak kesatuan memang tidak membela mana-mana guru yang terbabit dalam jenayah cabul, kita takkan campur tangan apatah lagi kes berkenaan sudah menjadi kes polis....biarlah polis yang menyelesaikannya,” katanya ketika dihubungi, di sini semalam.

Loke berkata, tugas guru perlu mendidik anak bangsa menjadi insan yang baik di masa depan, namun mereka juga perlu sedar dalam soal itu tidak wajar menyentuh pelajar apatah lagi guru lelaki.

“Saya nak nasihatkan guru lelaki dan perempuan jangan sentuh pelajar kerana kita tidak mahu terbabit dalam masalah lain yang boleh membabitkan kes polis dan dibawa ke mahkamah.

“Apabila berlaku kes begini kita tak berani nak cakap betul atau tak, kena ada bukti....apa pun guru sendiri kena berhati-hati,” katanya.

Akhbar semalam melaporkan seorang guru lelaki berusia 30-an yang mengajar di sekolah menengah di Ampang diberkas polis, Jumaat lalu apabila didakwa mencabul 12 pelajar.

Sumber: My metro

No comments:

Post a Comment