Tuesday 22 March 2011

Usah cepat buat andaian guru bermasalah

BARANGKALI, imej sistem pendidikan negara kian tercalar apabila pelbagai insiden memalukan dan memualkan sering terpampang di media massa. Dulu salah laku pelajar menjadi tajuk berita, kini guru pula seolah-olah mengambil tempat dengan kesalahan dan perlakuan tidak masuk akal. Lebih memalukan apabila golongan dihormati dan disanjung itu terbabit pula dengan perbuatan mencemarkan maruah.
Pastinya senario itu mengundang kemusykilan masyarakat, apakah yang sedang melanda institusi pendidikan negara hari ini hingga golongan guru hilang pertimbangan?
Adakah perlakuan itu disebabkan tekanan kerja yang semakin bertambah hingga mereka 'terlanjur' perbuatan? Apakah mereka sememangnya 'gatal' dan mengambil kesempatan atau masyarakat hanya memperbesar-besarkan hal kecil yang boleh ditangani tanpa pembabitan orang luar?
Kaunselor pakar, perunding dan pakar motivasi, Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Haslee Sharil Abdullah, berkata jangan terburu-buru membuat andaian kepada guru bermasalah tanpa menimbangkan kemungkinan dan faktor hingga tercetusnya insiden.
Menurutnya, sikap masyarakat yang mudah mengambil tindakan dan melemparkan pandangan negatif hanya memburukkan keadaan selain menimbulkan ketegangan hingga menjejaskan maruah atau masa depan guru terbabit.
"Belum tentu mereka bersalah biarpun tindakan sudah diambil. Inilah sikap buruk masyarakat kita yang mudah sangat meletakkan kesalahan tanpa usul periksa sekali gus mencalarkan nama baik sekolah, pelajar serta peribadi individu.
"Tindakan terburu-buru tidak profesional dalam menangani masalah malah menjadikannya sebagai tindakan pasif bagi individu lain. Justeru sebelum mengambil keputusan, penilaian menyeluruh perlu dilakukan supaya pihak lain tidak teraniaya," katanya.
Sejak akhir-akhir ini, media massa melaporkan masalah perlakuan guru yang dianggap bermasalah dan tidak sesuai dengan norma masyarakat hingga mencetuskan kebimbangan semua pihak.
Antaranya perlakuan guru yang suka menyentuh fizikal pelajar berlainan gender dengan menggunakan 'hukuman' sebagai alasan menghalalkan perbuatan. Ada juga menyentuh dengan alasan kasih sayang biarpun tidak perlu.
Beliau berkata bagi mengelakkan kekeliruan, sama ada pelajar atau guru perlu tahu menggunakan hak masing-masing bukan menyalahgunakannya bagi tujuan tertentu.
"Selalunya insiden berlaku kerana pelajar berasakan hak peribadi dicabuli sementara guru beranggapan itu hak mereka untuk mendisiplinkan pelajar. Bila wujud kekeliruan, sudah tentu tercetusnya masalah.
"Sewajarnya kedua-dua pihak tahu batas-batas boleh digunakan bagi mengelakkan kontroversi. Sudah termaktub hanya atas sebab tertentu saja seseorang itu boleh disentuh, contohnya atas tujuan perubatan atau rawatan oleh mereka yang bertauliah seperti doktor.
"Jika semua pihak jelas mengenainya, sudah pasti tidak timbul isu begini. Sangat malang apabila guru dan pelajar terpaksa bertelingkah atau 'berperang' hanya kerana perkara boleh dielakkan," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menafikan ada guru suka mengambil kesempatan namun menganggapnya ia hanya kes terpencil.
Guru terbabit katanya perlu mendapatkan rawatan psikologi bagi mengesan masalah supaya tidak bertambah kronik.
"Tidak dinafikan, ada guru suka menyentuh pelajar dan ini memang salah. Guru ini sebenarnya mungkin mengalami masalah emosi namun tidak mampu dikesan dengan mata kasar dan tekanan itu diterjemahkan dengan perlakuan.
"Guru berkenaan tidak rasa bersalah namun pelajar pula menjadi mangsa. Jika ini berlaku, pihak sekolah perlu mengambil tindakan tertentu supaya keadaan tidak bertambah melarat.
"Namun sebaiknya, biarlah hanya mereka yang terbabit saja mengetahui perkara ini supaya tidak memalukan mana - mana pihak. Yang dikesali apabila guru bermasalah, ia seperti diheboh-hebohkan hingga menjadi isu nasional sekali gus menyukarkan usaha sekolah menanganinya," katanya.
Ditanya mengenai kaedah terbaik, beliau berkata sama ada guru, pelajar mahupun sekolah perlu menjadi erat dan saling menyayangi selain semua pihak perlu merendahkan ego masing -masing.
Menurutnya, pertikaian yang berlaku hari ini disebabkan tiadanya elemen positif seperti kasih sayang, menghormati dan menghargai di kalangan warga sekolah hingga mencetuskan situasi 'hanya kau-aku'.
"Apabila elemen positif tidak dimasukkan dalam perhubungan, sudah tentu mereka semakin renggang. Guru hanya menjalankan tanggungjawabnya mengajar, pelajar pula menerima sementara sekolah asyik berkira mengenai pencapaian kecemerlangan hingga terlupa keperluan kasih sayang.
"Ini menjadikan setiap golongan hanya tertumpu pada komuniti tertentu saja sedangkan sekolah boleh diibaratkan sebagai keluarga besar yang boleh berkongsi susah senang. Jalinan kemesraan dan kasih sayang perlu disemai mengikut batas ditetapkan," katanya.
"Pelajar juga perlu tahu status dan pandai menjaga diri. Jika betul guru bersalah dan perlu diambil tindakan, lakukanlah mengikut pertimbangan akal bukan emosi semata-mata. Semua pihak ada hak yang perlu dipertahankan," katanya.

sumber: My metro
p/s: Tidak ada seorang guru pun yang mahu melihat anak muridnya tidak berjaya. Guru yang baik sentiasa mendoakan anak muridnya berjaya dan tidak mudah berputus asa sehingga mencapai kejayaan. Namun  ada juga ibu bapa menganggap yang guru lebih mementingkan diri sendiri dan mencari nama  kerana melihat anak mereka terlalu penat dengan aktiviti kerja rumah dan kelas tambahan yang dilakukan. Pada saya, biarlah apa juga ibu bapa katakan, yang penting saya kita  mendidik anak mereka menjadi seorang manusia yang berjaya kerana tanggungjawab dan amanah  dan sentiasa mengambil berat kerana saya pasti ibu bapa orang paling gembira apabila anak mereka cemerlang.

No comments:

Post a Comment