Saturday 11 February 2012

3.5 juta enggan jalani rawatan




KUALA LUMPUR – Ketidakprihatinan masyarakat terhadap penyakit darah tinggi kini membimbangkan apabila kira-kira 3.5 juta penghidap penyakit tersebut di negara ini langsung tidak mendapatkan rawatan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hasan Abdul Rahman berkata, jumlah tersebut meliputi 61 peratus daripada jumlah keseluruhan iaitu 5.7 juta orang.
Katanya, golongan berumur 30 tahun dan ke atas dikenal pasti berisiko diserang penyakit darah tinggi yang merupakan faktor utama kepada serangan jantung dan strok.
Serangan jantung dan strok mencatatkan 17.5 juta kematian di seluruh dunia setakat ini.
“Rekod kita mendapati 2.2 juta pesakit darah tinggi menjalani rawatan tetapi 3.5 juta lagi pesakit langsung tidak berbuat demikian.
“Ini bermakna masyarakat bersikap sambil lewa terhadap penyakit tersebut yang merupakan pembunuh senyap,’’ katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Saintifik Persatuan Hipertensi Malaysia di sini semalam.
-kosmo-