Saturday 11 February 2012

UM perketat syarat kemasukan pelajar

 KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) akan memperketat syarat kemasukan pelajar baru bermula sesi pengambilan September ini, kata Naib Canselornya, Tan Sri Dr Ghauth Jasmon.

Beliau berkata, bagi kursus kritikal seperti perubatan dan pergigian, UM menetapkan pelajar lepasan matrikulasi atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) perlu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) maksimum 4.00, manakala bagi bidang sastera perlu memperoleh keputusan 3.50. Keputusan itu dibuat berdasarkan penganugerahan status autonomi yang diberikan kerajaan kepada beberapa institusi pengajian tinggi awam, termasuk UM, katanya.

Bulan lalu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin mengumumkan pemberian kuasa autonomi dalam empat bidang merangkumi urus tadbir, kewangan, sumber manusia dan pengurusan akademik serta pengambilan pelajar kepada lima universiti.

Universiti itu adalah UM, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia.

Dr Ghauth berkata, universiti boleh laksanakan sistem meritokrasi dengan lebih berkesan dan ini bermakna pemilihan akan lebih ketat dalam menentukan pelajar yang layak masuk ke UM sebab kita hanya mahu pelajar yang betul-betul cemerlang saja, katanya.
Mengulas mengenai kuasa autonomi yang diberikan kerajaan,
beliau melihat kebebasan yang diberikan itu sebagai satu peluang untuk menjadikan UM lebih cemerlang pada masa akan datang.

Mengenai saingan dengan pusat pengajian tinggi awam lain dalam mendapatkan pelajar cemerlang, Ghauth berkata, beliau yakin UM memiliki kelebihan terutama dari segi reputasi kerana UM adalah antara 200 universiti terbaik dunia.
-- Diharapkan syarat ini dikecualikan kepada pelajar pendidikan khas masalah penglihatan. hanya UM saya masih memberi peluang kepada pelajar ini untuk belajar selain USM..