Saturday 4 February 2012

4 lagi sekolah diiktiraf Sekolah Berprestasi Tinggi




PUTRAJAYA 3 Feb. - Kementerian Pelajaran mengiktiraf 14 lagi Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) membabitkan 10 buah sekolah rendah dan empat sekolah menengah di bawah kohort ketiga tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan perkara itu berkata, pertambahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan SBT di seluruh negara sebanyak 66 buah.
Sambil mengakui sistem pendidikan telah banyak menyumbang kepada kemajuan dan kemakmuran negara, namun katanya, penambahbaikan berterusan masih diperlukan jika mahu mutu pendidikan di Malaysia setanding negara-negara maju.
"Menerusi usaha-usaha terkini kerajaan dan Kementerian Pelajaran, saya menjangkakan selepas fasa penilaian semua dan hala tuju sistem pendidikan negara dimuktamadkan, tanggungjawab kecemerlangan yang akan dipikul oleh warga SBT akan lebih mencabar.
"(Ini kerana) matlamat akhir SBT bukan sahaja untuk mengiktiraf kecemerlangan sekolah tetapi lebih penting ialah memastikan kecemerlangan tersebut dapat memberi impak positif kepada pencapaian pelajar," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian watikah pengiktirafan SBT Kohort 3 dan sumbangan dana kepada 14 buah sekolah terbabit di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Ir. Wee Ka Siong dan Ketua Pengarah Pelajaran dan Datuk Seri Abd. Ghafar Mahmud.
Sehubungan itu, Muhyiddin menyarankan warga SBT supaya mempunyai teraju kepimpinan yang dinamis serta berkesan.
Ini kerana, katanya, penampilan yang baik, sihat mental serta fizikal dan memiliki sifat-sifat amanah ikhlas, berintegriti serta tidak mementingkan diri sendiri adalah ciri-ciri pemimpin yang diharapkan oleh sistem pendidikan negara.
"Pemimpin yang berkesan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mahir berkomunikasi, mempunyai keterampilan mentadbir, berkebolehan menganalisis masalah, boleh membuat keputusan dan bijak mengendalikan pengurusan organisasi," katanya.
Beliau berkata, hasrat kementerian adalah merealisasikan tiga matlamat dengan pengiktirafan BPT iaitu mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik, meningkatkan kualiti pencapaian institusi melalui peningkatan tahap autonomi dan akauntabiliti serta membenarkan sekolah melaksanakan inovasi dalam pengurusan masing-masing.
Kedua, katanya, bagi menghasilkan pelajar holistik yang cemerlang, SBT sebagai tempat untuk melatih murid cemerlang bertaraf antarabangsa dan menjadi personaliti unggul dalam semua bidang.
"Seterusnya merapatkan jurang antara sekolah di dalam sistem iaitu SBT memainkan peranan sebagai sumber inspirasi dan rujukan kepada sekolah-sekolah lain untuk memacu kecemerlangan di tahap yang lebih tinggi melalui bimbingan dan jaringan antara sekolah tersebut,'' katanya.
10 buah Sekolah Kebangsaan (SK) terbabit ialah SK (Perempuan) Sultan Ibrahim Johor Bharu; SK Infant Jesus Convent, Johor Bharu, Johor; SK Ibrahim, Sungai Petani, Kedah; SK Sultan Sulaiman 1 Kuala Terengganu, SK Tengku Mahmud, Besut, Terengganu; SK Assunta Convent, Kuantan, Pahang; SK Minden Heights, Pulau Pinang; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwang Hwa, Pulau Pinang; SJKC Keat Hwa (H), Alor Setar Kedah; dan SJKC Foon Yew 2, Johor Bharu, Johor.
Empat buah Sekolah Menengah Sains (SMS) ialah SMS Sultan Mohamad Jiwa, Sungai Petani, Kedah; SMS Tuanku Jaatar, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; SMS Kota Tinggi, Kota Tinggi, Johor dan SMS Johor, Kluang Johor.
- utusan 

No comments:

Post a Comment