Wednesday 22 February 2012

Mohon PTPTN perlu ada akaun SSPN


KUALA LUMPUR: Pelajar yang berhasrat untuk memohon pembiayaan pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membiayai pengajian mereka di Politeknik, institusi pengajian tinggi awam dan swasta tahun ini perlu membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) melalui Maybank dan Bank Islam Malaysia Berhad.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PTPTN semalam, pembukaan akaun SSPN melalui bank lain hanya dibenarkan bagi mereka yang berhasrat untuk memohon pembiayaan pendidikan itu selepas 2012.

Kenyataan itu berkata, bagi mereka yang sudah mempunyai akaun SSPN, penambahan deposit boleh dibuat melalui semua saluran sedia ada seperti Maybank, Bank Simpanan Nasional, Agrobank, CIMB Bank Berhad, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan kaunter PTPTN.
Bermula 1 Januari lalu, PTPTN mewajibkan pembukaan akaun SSPN sebagai syarat kelayakan bagi individu yang ingin memohon pembiayaan pendidikan PTPTN.

Sebelum ini, bank terbabit yang menjadi ejen PTPTN diminta menaiktaraf sistem pembukaan akaun SSPN bagi memastikan kelancaran proses pembukaan akaun itu.

Kenyataan itu berkata, sehingga 31 Januari lalu hanya Maybank dan Bank Islam Malaysia Berhad berjaya menaik taraf sistem mereka.
- metro-