Wednesday 15 February 2012

Jangan kurung atau sorok anak OKU


KUCHING 15 Feb. - Ibu bapa yang mempunyai anak atau ahli keluarga dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) diminta supaya tidak mengurung, menyorok atau menyisihkan golongan itu daripada masyarakat.
Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri, Datuk Fatimah Abdullah (gambar) berkata, golongan OKU turut berhak mendapatkan hak sama rata seperti insan normal lain.
Menurutnya, untuk tujuan itu, ibu bapa terbabit perlu mendaftar anak atau ahli keluarga OKU dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri supaya kemudahan bersesuaian dan bertepatan dengan keperluan OKU dapat disediakan.
''Sehingga Disember tahun lalu, seramai 24,310 OKU berdaftar dengan JKM Sarawak bagi kategori OKU pendengaran, penglihatan, pertuturan, fizikal, bermasalah pembelajaran, mental dan sebagainya.
''Seramai 596 OKU pula berjaya didaftarkan sehingga 31 Januari tahun ini bagi membolehkan kerajaan merancang program, aktiviti dan perkhidmatan khusus bagi kumpulan sasaran itu," katanya pada Majlis Sentuhan Kasih Tahun Baru Cina bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng di sini semalam.
Fatimah berkata, antara keperluan yang disediakan oleh JKM golongan tersebut adalah kemudahan pendidikan dan latihan kemahiran vokasional OKU.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan mahu melihat peningkatan jumlah pendaftaran golongan OKU pada tahun ini.
Tambahnya, pendaftaran terbabit membolehkan kerajaan mengetahui bilangan OKU, kategori kurang upaya dan lokasi tempat tinggal mereka.
''Antara langkah yang diambil bagi membela golongan OKU agar tidak ketinggalan adalah dengan menetapkan semua kementerian serta agensi kerajaan untuk mencapai satu peratus peluang pekerjaan yang akan diberikan kepada golongan itu.
''Malah, JKM turut memperkenalkan 'Job Coach' yang melibatkan latihan dan sokongan kepada pekerja OKU yang secara tidak langsung membantu mereka menjalankan tugasan dan diterima oleh komuniti di tempat kerja.
-- utusan--