Monday 6 February 2012

Kaji semula gaji Sabah, Sarawak

KUALA LUMPUR: Kabinet mengarahkan Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) bermesyuarat semula untuk mengkaji kadar gaji minimum yang ditetapkan untuk Sabah dan Sarawak selepas dibantah pemimpin kedua-dua negeri itu kerana disifatkan terlalu rendah.
Difahamkan, MPGN yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim Lip Kiong dalam mesyuarat terakhirnya, Disember lalu, menetapkan gaji minimum RM900 sebulan untuk Semenanjung dan RM770 bagi Sabah dan Sarawak.
Sumber berkata, MPGN menyerahkan hasil kajian dan cadangannya kepada Kementerian Sumber Manusia, bulan lalu untuk dibentangkan kepada Kabinet.

“Kami difahamkan selepas laporan itu dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, baru-baru ini, Jemaah Menteri memutuskan mengarahkan MPGN melakukan kajian semula kadar gaji minimum yang ditetapkan bagi Sabah dan Sarawak.

“Arahan itu dikeluarkan kerana difahamkan pemimpin kedua-dua negeri berkenaan tidak berpuas hati selain menganggap kadar RM770 tidak adil kepada pekerja di Sabah dan Sarawak memandangkan kos hidup semakin meningkat,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Kerajaan mewujudkan MPGN, tahun lalu dan dianggotai 25 ahli, mewakili pelbagai pertubuhan, majikan dan kesatuan untuk mengkaji dan mencadangkan kadar gaji minimum dilaksanakan di seluruh negara.
Berikutan arahan Kabinet itu, MPGN yang turut dianggotai Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) dijangka bermesyuarat sekali lagi pada 10 Februari ini di Putrajaya.

Difahamkan, MPGN sebelum ini bersetuju gaji pembantu rumah dan pekerja dalam latihan dibayar gaji mengikut pasaran, manakala majikan yang mempunyai kurang 10 pekerja dikecualikan daripada dasar gaji minimum.

MTUC sebagai kesatuan sekerja terbesar mewakili pekerja sektor swasta negara, memperjuangkan isu gaji minimum sejak 1999 supaya tiada pekerja di negara ini menerima gaji di bawah paras kemiskinan.

Pada 2010, bekas Presiden MTUC, Syed Shahir Syed Mohamud, berkata 2.2 juta pekerja swasta di negara ini menerima gaji pokok di bawah RM1,000 sebulan dengan lebih 1.8 juta di bawah paras kemiskinan (RM750 sebulan) dan kemiskinan tegar (RM440 sebulan).

Sumber berkata, mesyuarat 10 Februari ini mungkin membincangkan isu gaji minimum di Sabah dan Sarawak, serta memikirkan formula yang sesuai supaya kadarnya dapat diselaraskan di seluruh negara.

“Tidak menolak kemungkinan bahawa gaji minimum bagi Sarawak dan Sabah juga ditetapkan RM900, bagaimanapun MPGN akan membincangkannya secara terperinci dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak,” katanya.
- Berita Harian-