Thursday 23 February 2012

Sekolah Dalam Hospital dapat sambutan menggalakkan




PUTRAJAYA 23 Feb. - Selepas hampir setahun ditubuhkan, Sekolah Dalam Hospital (SDH) kelolaan Yayasan Nurul Yaqeen terus mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan ibu bapa yang mahukan anak-anak mereka terus mendapat pendidikan walaupun berada di katil hospital.
Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman yang juga Penaung Projek Hati Nurani: SDH, berkata, sehubungan itu SDH akan diperluaskan ke beberapa hospital milik kerajaan dalam masa terdekat bagi memastikan setiap permintaan dipenuhi.
Katanya, sehingga kini, SDH telah dilaksanakan di tiga buah hospital iaitu Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang.
"Kerjasama dan sokongan erat Yayasan Nurul Yaqeen, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kesihatan membolehkan ramai pelajar mengikuti kelas di bawah program berkenaan.
"Sambutan menggalakkan serta permintaan daripada hospital lain untuk menyediakan SDH di tempat mereka memberi kami semangat untuk memperluaskan program ini ke hospital kerajaan yang lain di seluruh negara," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra dan Taklimat SDH, di Dewan Bankuet, Sri Satria di sini, hari ini.
Hadir sama Pengarah Urusan Perusahaan Otomobil Nasional Kedua Sdn. Bhd. (Perodua), Datuk Aminar Rashid Salleh, Pengerusi Hati Nurani, Prof. Madya Normah Dali dan Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sufa'at Tumin.
Pada majlis tersebut, Perodua menyumbang RM300,000 manakala syarikat telekomunikasi tempatan, DiGi Telecommunications (DiGi) menyumbang 15 unit komputer riba dan penerbit majalah Ana Muslim menyumbang bahan bacaan bernilai RM10,000.
Selain itu, syarikat pengendali pendidikan dalam talian, Kenshido International Sdn. Bhd., menaja penggunaan percuma pembelajaran dalam talian kepada pelajar terbabit.
Menurut Noorainee, SDH menggunakan sukatan pelajaran kebangsaan sama seperti di sekolah rendah dan sekolah menengah bagi memberi tumpuan kepada pesakit mengikut peringkat usia serta silibus membabitkan mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
Selain itu katanya, kewujudan projek SDH juga mampu menghilangkan rasa bimbang para ibu bapa terhadap pelajaran anak-anak mereka apabila menerima rawatan di hospital.
"Kebimbangan ini tentunya lebih tinggi jika anak-anak mereka akan menduduki peperiksaan awam pada tahun berkenaan atau pun terpaksa berada di hospital dalam tempoh masa yang agak lama," katanya lagi.
- UTUSAN-