Wednesday 22 February 2012

Puad Zarkashi: Kerajaan akan tambah pengambilan pelajar OKU di sekolah harian

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelajaran akan meningkatkan pengambilan pelajar orang kurang upaya (OKU) bukan tegar di sekolah harian daripada 7.5 peratus kepada 30 peratus pada masa hadapan.
Timbalan Menteri berkenaan Dr Mohd Puad Zarkashi berkata langkah itu bagi melibatkan kira-kira 28,000 pelajar OKU bukan tegar iaitu tidak cacat penglihatan dan pendengaran dalam pendidikan inklusif di sekolah harian.
“Matlamat utama kita menggalakkan pelajar OKU ini belajar bersama pelajar normal dan diajar oleh guru biasa, ialah untuk mewujudkan daya saing selain boleh memotivasikan diri mereka sendiri,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Motivasi Pengurusan Pembelajaran Strategik Pelajar Tingkatan 5, di sini hari ini.
Beliau berkata guru sekolah harian perlu didedahkan dengan teknik mendidik pelajar OKU bukan tegar ini, termasuk daripada segi mengawal emosi dan tahap motivasi.
Menyentuh perhimpunan ibu bapa yang menyokong Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) di Dataran Petaling Jaya bulan depan, Mohd Puad berkata kementerian tetap dengan keputusan memansuhkan PPSMI.
Beliau juga berkata kementerian akan menubuhkan satu jawatankuasa kerja untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris selaras dengan Dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menggantikan PPSMI.
-- Bernama--