Sunday 12 February 2012

Hotel Hard Rock paling bergaya di Malaysia




GEORGE TOWN - Hotel Hard Rock Pulau Pinang (Hotel Hard Rock) sekali lagi mencatat kejayaan apabila dipilih buat kali kedua sebagai Hotel Paling Bergaya di Malaysia bagi tahun 2012 oleh laman sesawang pengembaraan global, TripAdvisor Inc. (TripAdvisor).
Pemilihan itu dibuat hasil undian secara maya daripada pengguna laman sesawang tersebut bagi kategori Anugerah Pemilihan Pengembara 2012.
Kriteria kemenangan ini mengambil kira faktor gaya hidup penginapan yang ditawarkan di hotel ini termasuk daripada aspek hiburan, kolam renang, pantai dan kualiti penginapan.
Pengurus Besar Hotel Hard Rock, John Primmer berkata, pemilihan itu cukup mengujakan dan semua pihak termasuk kakitangannya selama ini bersungguh-sungguh menawarkan perkhidmatan berkualiti.
"Sebagai hotel bertemakan muzik, Hotel Hard Rock sentiasa menyajikan hiburan yang terbaik untuk semua pengunjungnya daripada setiap lapisan usia.
"Daripada kumpulan muzik bertaraf antarabangsa, persembahan pentas dan parti hujung minggu, kegembiraan di hotel ini tidak pernah berakhir," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini baru-baru ini.
Selain anugerah tersebut, Hotel Hard Rock juga berada di tempat ke-18 daripada senarai 25 Hotel Spa dan Santai Terbaik di Malaysia yang turut dipilih daripada undian pengguna TripAdvisor.
-kosmo-