Tuesday 7 February 2012

Paras air di Queensland naik




SYDNEY 6 Feb. - Paras air banjir di beberapa bahagian di Queensland terus meningkat hari ini ketika penduduk di kawasan yang terancam menerima berita gembira menyatakan benteng sungai mungkin bertahan.
Beribu-ribu orang terpaksa meninggalkan kediaman mereka ketika banjir mencatat rekod sama seperti tahun lalu dengan St. George di selatan Queensland menjadi kawasan paling terancam.
Kebanyakan penduduk di kawasan itu berpindah ke pusat pemindahan di Dalby atau ibu negeri Brisbane semalam, walaupun 400 orang lagi masih tidak berganjak untuk membantu mengurangkan kerosakan meskipun arahan perpindahan wajib telah dikeluarkan.
Datuk Bandar St. George, Donna Stewart berkata, Sungai Balonne di St. George, kawasan yang dilanda banjir sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang dua tahun, telah mencapai paras 13.48 meter dan dijangka terus meningkat sehingga malam esok.
Pegawai Biro Meteorologi yang sebelum ini menjangka paras air sungai itu akan mencapai tahap 15 meter dan melebihi benteng sungai, bagaimanapun menurunkan anggaran mereka kepada 14 meter.
Ramalan baru itu bermakna benteng sungai yang mempunyai ketinggian 14.5 meter mampu bertahan.
Stewart berkata, beliau optimistik pekan itu akan terselamat daripada bencana buruk.
Ketua Menteri Anna Bligh yang melancarkan rayuan bantuan banjir berkata, banjir St. George mencatat pemindahan terbesar di Queensland.
Sekurang-kurangnya 30 rumah dan premis perniagaan ditenggelami banjir setakat ini dan dijangka ia akan meningkat.
Walaupun kebanyakan penduduk telah berpindah, Pesuruhjaya Polis Queensland, Bob Atkinson berkata, pegawai-pegawainya akan terus berkawal bagi mengelak insiden kecurian. -
-- utusan online--