Tuesday 21 February 2012

Had kemasukan pelajar asing langkah wajar


KUALA LUMPUR 21 Feb. — Mengehadkan kemasukan pelajar asing ke Malaysia dengan menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial adalah langkah yang baik serta wajar dilaksana.
Canselor Universiti Kolej Sedaya International (UCSI ), Tan Sri Dr. Abdul Rahman Arshad berkata, ini kerana kemasukan pelajar asing ke negara ini sedikit sebanyak memberi kesan negatif kepada imej Malaysia berikutan peningkatan kadar jenayah membabitkan kes dadah dan pelacuran.
Menurutnya, situasi itu bukan saja menimbulkan kebimbangan di kalangan mahasiswa tempatan tetapi bakal mempengaruhi persepsi masyarakat dunia terhadap kualiti pendidikan negara.
"Saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk mengehadkan kemasukan pelajar asing. Ia adalah satu tindakan bijak dalam usaha memastikan mereka yang memasuki negara ini benar-benar datang untuk melanjutkan pelajaran," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan langkah kementeriannya untuk menghentikan pemberian visa ketibaan dan pas sosial kepada para penuntut asing ke negara ini bagi membendung penyalahgunaan pas itu.
Abdul Rahman mengakui bilangan pelajar asing yang akan memasuki negara untuk menuntut di negara ini akan menyaksikan pengurangan ekoran pelaksanaan itu.
- utusan-