Tuesday 7 February 2012

Kes denggi babit pelajar membimbangkan


Sebanyak 20 peratus kes denggi yang dilaporkan di negara ini melibatkan golongan pelajar sekolah berumur antara lingkungan sembilan hingga 18 tahun.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hassan Abdul Rahman berkata, jumlah itu amat membimbangkan memandangkan golongan ini merupakan generasi muda yang bakal menjadi pelapis masa depan negara.
"Kementerian Kesihatan menyeru agar masyarakat dan semua pihak menggalas tanggungjawab dengan menjayakan aktiviti pencegahan denggi secara berterusan.
"Pelbagai inisiatif boleh dilakukan oleh pihak luar seperti sumbangan dalam bentuk tenaga dan dana dalam menjayakan program menghapuskan Aedes bagi mengurangkan risiko dijangkiti wabak denggi," katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Pertandingan Renjer Anti Aedes Antara Sekolah 2012 anjuran syarikat S.C. Johnson di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menurut beliau, sebanyak 21 peratus atau 4,222 daripada 19,884 kes yang dilaporkan pada 2011 terdiri daripada pelajar sekolah iaitu seramai 2,899 atau 14 peratus melibatkan pelajar sekolah menengah dan 1,323 pelajar bersamaan tujuh peratus kes terdiri daripada murid sekolah rendah.
"Pada tahun ini, terdapat 378 daripada 1,868 kes atau 20 peratus merupakan pelajar sekolah. Daripada jumlah itu, 246 kes atau 13 peratus adalah pelajar sekolah menengah manakala 132 kes atau tujuh peratus pula pelajar sekolah rendah," jelasnya.
Hassan berkata, bermula pada minggu akhir 2011, hanya 350 kes dilaporkan dan ia meningkat kepada 440 kes pada minggu pertama 2012 seterusnya 488 kes pada minggu terakhir Januari tahun ini.
"Peningkatan purata sebanyak 14 peratus setiap minggu ini amat membimbangkan ditambah dengan peningkatan kes kematian. Dalam tempoh empat minggu, terdapat enam kes kematian denggi dilaporkan berbanding tiga dalam tempoh sama tahun lalu.
"Kes kematian denggi terdapat peningkatan sebanyak 50 peratus pada tahun ini berbanding tahun lepas dan kementerian amat memandang serius situasi ini," terang beliau.
Tiga negeri yang menyumbang kepada kes kematian denggi ialah Selangor sebanyak tiga kes, Kuala Lumpur sebanyak dua kes manakala Negeri Sembilan satu kes.
Secara keseluruhannya beliau berkata, lima daripada enam kematian ini berlaku di kawasan berisiko denggi sama ada di kawasan wabak, kawasan mempunyai pembiakan Aedes yang tinggi atau kawasan bekas wabak denggi.
"Manakala dua daripada enam kematian terbaru pada awal tahun ini melibatkan pelajar sekolah rendah berumur sembilan tahun dan seorang pelajar kolej berumur 18 tahun.
"Semua kes kematian ini mengalami gejala demam dengan dua simptom yang lain seperti sakit kepala, muntah, sakit otot, sakit sendi, sakit badan, tiada selera makan dan ruam," jelasnya.
Oleh yang demikian beliau meminta masyarakat supaya tidak memandang remeh sekiranya mereka mengalami demam dan dinasihatkan untuk mendapat rawatan awal di klinik berhampiran bagi mengelakkan komplikasi akibat denggi terutamanya yang tinggal di kawasan wabak denggi.
"Pengamal-pengamal perubatan juga diminta supaya peka dengan kawasan wabak denggi atau hotspots bagi membantu mereka untuk mendiagnosis kes denggi dengan lebih awal dan mengurangkan risiko kematian akibat denggi," tegasnya.
-- utusan online--