Tuesday 7 February 2012

Gadis bercakap ‘ganjil’ selepas kemalangan


BESUT: Seorang pelajar Tingkatan Lima sebuah sekolah yang cedera selepas terbabit dalam satu kemalangan jalan raya bulan lalu kini terlantar di rumahnya akibat kesan trauma kejadian berkenaan.
Noraini Ismail, 17, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Nasiruddin Shah dekat sini mendakwa berperasaan luar biasa dan bercakap ganjil dalam bahasa tidak difahaminya dipercayai berpunca daripada kemalangan. “Dalam kejadian itu saya membonceng motosikal abang, Jefri Ismail yang terbabit dalam satu perlanggaran dengan sebuah lori kecil berhampiran persimpangan lampu isyarat di Kampung Alor Lintang pada 10 Januari lalu dalam perjalanan pulang dari sekolah. “Akibat kemalangan itu saya terjatuh dan terhantuk kepala ke atas jalan raya dan dimasukkan ke Hospital Besut serta tidak sedarkan diri selama 11 jam,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Gong Medang dekat Kampung Raja di sini, kelmarin.

Noraini kemudian menerima rawatan lanjut di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan dan menjalani imbasan di bahagian kepala yang mendapati terdapat kesan darah beku. Menurut ibunya, Mansena Daud, 48, apabila anaknya itu menjalani imbasan kali kedua dan ketiga di hospital sama, doktor memberitahu bahawa kesan darah beku itu sudah tiada. Selepas tiga hari dirawat di HUSM, Kubang Kerian, anak keenam daripada tujuh beradik itu dibenarkan pulang ke rumah, tetapi keadaannya menjadi teruk hingga tidak dapat bercakap. Tidak lama kemudian, dia mula bercakap bahasa ‘ganjil’ tidak difahami yang didakwa bahasa Cina, Jepun, Korea dan Indonesia. Mansena berkata, anaknya kemudian dimasukkan semula ke hospital bagi rawatan seterusnya atas arahan doktor. Walaupun berperangai pelik, katanya, Noraini kelihatan sihat dan berselera makan serta ingatannya masih baik, namun sering mengadu sakit kepala pada waktu malam hingga terpaksa menghantarnya ke hospital. Sementara itu Anggota Dewan Undangan Negeri Kota Putra, Muhammad Pehimi Yusoff ketika ditemui meminta pakar membuat kajian teliti bagi mengetahui punca sebenar masalah dihadapi pelajar berkenaan.
-- my metro-